Skuad kebangsaan Thailand kekal menjadi pasukan nombor satu di rantau Asia Tenggara manakala Malaysia menduduki tempat keempat menerusi ranking FIFA yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam ranking terbaru yang dikeluarkan, Thailand menduduki ranking ke-101, jatuh satu anak tangga berbanding kedudukan sebelum ini manakala Malaysia menduduki ranking ke-134, naik satu anak tangga berbanding kedudukan sebelum ini.

Baca Juga:

Pasukan kedua terbaik di Asean ketika ini ialah Vietnam dimana mereka menduduki ranking ke-115 dan pasukan ketiga terbaik di rantau ini jatuh kepada Indonesia yang menduduki ranking ke-133, satu anak tangga dibezakan dengan skuad Harimau Malaya.

Meskipun gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, namun seri ketika menentang Kyrgyzstan dan kemenangan ke atas Taiwan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan nyata sedikit membantu kenaikan satu anak tangga pasukan negara dalam kemas kini kali ini.

Apa yang perlu dilakukan oleh skuad kebangsaan ialah meraih kemenangan dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 yang akan diadakan pada 2 hingga 10 September ini bagi meraih mata penuh sekaligus memperbaiki ranking sedia ada.

Pasukan negara akan dibimbing oleh Pau Marti Vicente selepas Kim Pan-gon meletak jawatan pada Isnin lalu dan kejohanan Pestabola Merdeka yang akan disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina bakal menjadi ujian pertama beliau selaku pengendali pasukan negara.

Sekiranya FAM terus memberikan kepercayaan kepada Pau Marti, maka bekas jurulatih Barcelona ini akan mengendalikan pasukan bagi menghadapi saingan Piala AFF Misubishi Electric yang akan berlangsung pada 23 November hingga 1 Disember nanti.