Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Sesyen, di sini, bermula hari ini selepas permohonannya menangguhkan hukuman terbabit ditolak, lapor Harian Metro.

Hakim Noridah Adam menolak permohonan tertuduh atau nama untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Baca Juga:

“Permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman ditolak kerana tiada keadaan khas yang dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad berkata, dalam kes ini tiada satu keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan mengambil kira kesalahan jenayah yang sudah dibuktikan.

Bagaimanapun, peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman selaku pemohon berkata, anak guamnya adalah pesalah pertama dan masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan di mahkamah lain; 5 lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, 2 kes di Mahkamah Shah Alam, satu di Mahkamah Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Difahamkan pasukan pembelaan PU Azman akan memfailkan rayuan berkaitan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan itu.

Mohamad Zahid berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, secepat mungkin.

“Kami semestinya akan membuat rayuan nanti (bagi menangguh dan menggantung hukuman itu).

“Kesemua proses itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang ini,” katanya lagi.

Sumber