Wakil Liga A1, KL Rovers menegaskan mereka tetap akan beraksi pada perlawanan pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung pada rabu ini.

Terdapat laporan media tempatan mengatakan kelab itu mahu menarik diri kerana isu tunggakan gaji melibatkan beberapa pemainnya.

Baca Juga:

Namun, laporan daripada Berita Harian mengesahkan perlawanan tersebut tetap berjalan seperti yang dijadualkan, namun ia akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

“Itu semua (laporan KL Rovers tarik diri) tidak betul. Semalam, sebelum perlawanan kami jumpa pemain, bagi semangat kepada mereka, itu yang menang sampai 10-1 (menentang Machan FC).

“KL Rovers juga akan teruskan persaingan dalam Liga A1 hingga habis musim dan jika tiada masalah, pasukan ini sebenarnya boleh jadi juara,” kata sumber itu kepada Berita Harian.

Ketua jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail mengesahkan senarai 22 pemain yang akan bertolak ke Johor, esok sudah diserahkan kepada pihak pengurusan dan tiada mana-mana pemain mahu menarik diri. 

“Kalau ada yang nak tarik diri mesti saya sudah tukar dengan pemain lain. Saya siap beritahu kapten pasukan lagi, siapa yang tak nak pergi maklumkan awal-awal kerana kita pun faham pemain dalam kesempitan.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa ada di padang. Setakat ini (gaji) masih ada sangkut empat hingga lima bulan dan pengurusan pun ada juga bagi advance, tapi bukan gaji penuh.

“Keseluruhan pemain tunjuk komitmen sampai kita layak ke Piala Malaysia, walaupun dalam keadaan begini dan contoh terbaru semalam, kami menang 10-1. Maknanya pemain bermain habis-habisan,” katanya.