Nota Editor: Terima kasih kepada Puan Azura Abdullah yang sudi menulis dan berkongsi 7 tip ini melalui hashtag #yesvocket.
Tip Mengelak Ketirisan Bajet Setiap Bulan
Assalamualaikum dan salam Sejahtera,
Selain daripada persoalan bisnes hal pengurusan kewangan rumah tangga antara topik yang kerap singgah di inbox saya.
Saya bukanlah individu yang terbaik untuk memberi panduan, walau bagaimanapun saya suka untuk berkongsi pengalaman saya dan bagaimana saya dan suami menguruskannya.
Soalannya ialah, ‘Bagaimana mengelakkan kebocoran bajet dan mahu pasangan ‘alert’ dengan keperluan bajet keluarga serta memberi keutamaan kepadanya berbanding hal lain yang lebih kepada kemahuan?‘.
Saya tidak pasti sama ada apa yang bakal saya kongsikan ini praktikal atau tidak kepada suri di luar sana tetapi ianya berkesan buat saya. Saya dan suami telah mengamalkannya sejak hari pertama berkahwin.
Suami saya seorang yang ‘structured’. Mungkin disebabkan latar belakangnya sebagai ‘Industrial Engineer’ yang mencoraknya begitu. Saya patut berterima kasih kepada beliau kerana ianya amat membantu dan memberi manfaat positif. Kalau harapkan saya memang ke laut.
Lain padang lain belalang. Jika tidak sesuai ambil sebagai sekadar perkongsian ya.
1. Senaraikan bajet bulanan
- Anda perlu senaraikan bajet bulanan anda secara konsisten setiap bulan. Wang masuk, wang keluar dan perbelanjaan anda.
- Hantar kepada pasangan anda fail yang telah dikemaskini dengan bayaran dan baki wang gaji berdua. Dengan cara ini kedua-dua pihak akan alert tahap kewangan keluarga dan tidak akan timbul masalah ‘wang engkau wang engkau, wang aku wang aku’ dan salah sangka antara satu sama lain.
- Baki wang yang tinggal dalam ruang merah itulah yang boleh anda dan keluarga berbelanja untuk hal-hal ‘kemahuan’.
- Saya ada excel spreadsheet ringkas yang siap dengan formula dibuat suami. Cuma key-in sahaja, terus ‘auto calculated’. Saya telah gunakan fail ringkas ini semenjak tahun 1999. Jika ada yang mahu boleh PM saya, saya hantarkan melalui email.
2. Bayar bil bila masuk sahaja gaji. Jangan bertangguh!
- Masuk sahaja gaji terus buat bayaran kepada semua komitmen anda.
- Apa yang boleh dibayar online selesaikan SEGERA secara online. ‘Add Favourite’ semua account yang boleh dibayar online supaya proses pembayaran tidak terganggu dan anda tidak punya alasan untuk tidak membayar.
- Bagi yang tidak boleh dibayar online, terus ambil tunai dan masukkan ke dalam sampul surat mengikut kategori. Contohnya: pengasuh, duit sekolah anak, duit van, duit mengaji, duit groceries mingguan, petrol dan lain-lain. Kemudian terus serahkan pada empunya, jangan biar di tangan lama-lama.
- Macam saya sewaktu bekerja, sampul duit groceries saya tinggal di pejabat untuk mengelakkan saya menggunakannya jika sentiasa di dalam beg tangan. Saya mengambil ikut jumlah yang ditetapkan pada minggu tersebut sahaja. Jika anda mahu melakukan perkara yang sama pastikan tahap keselamatan pejabat anda adalah baik.
3. Simpanan tetap
- Buat potongan gaji terus. Tetapi masalah juga kerana kita boleh usaha pergi ambil pula. Ibarat nak tuju ke sesuatu tempat dan alamat lengkapnya kita ada.
- Jika ada peluang boleh ambil fixed deposit atau pinjaman ASB yang berupa simpanan. Simpanan terpaksa sebenarnya kerana anda tidak boleh mengambil wang yang anda simpan setiap bulan itu kecuali dividen sahaja pada setiap hujung tahun.
4. Sedekah
- Ini pun cabaran juga. Nak tunggu ada lebihan $$ baru nak sedekah, entah bila.
- Buat potongan terus ke akaun penerima, tak payah banyak kalau rasa sangkut-sangkut.
- 2-3 puluh ringgit dah cukup tapi konsisten setiap bulan. Anda boleh taja anak yatim, pelajar tahfiz, anak-anak Palestin melalui Aman Palestin dan banyak lagi saluran. Cari… bersepah orang yang memerlukan. Kalau tak jumpa juga anda boleh hubungi NGO Wargakilang, setiap minggu mereka masuk kampung hantar beras, gula dan segala macam barang keperluan kepada orang susah.
5. Berbelanja dengan tunai bukan kad kredit
- Jika anda belum mampu mengurus wang dengan baik saya cadangkan anda hentikan penggunaan kad kredit atas apa alasan sekalipun. Kad kredit ini sebenarnya kita berHUTANG, guna dahulu bayar kemudian.
- Saya dan suami berhenti menggunakan kad kredit semenjak tahun 2003. Sudah 11 tahun rupanya. Alhamdulillah.
- Antara alasan untuk menggunakan kad kredit ialah mendapat ganjaran atas point-point yang digunakan, kecemasan, nak ke luar negara dan sebagainya. Saya berfikiran begitu juga sebelum ini.
- Tidak ada masalah pun sebenarnya jika anda mahu ke luar negara dengan hanya menggunakan kad debit. Buat panggilan sahaja ke bank-bank anda, tak sampai 5 minit urusan untuk mengaktifkan akaun kad ATM (debit) anda di luar negara selesai. Mudah sahaja sebenarnya. Saya membeli barang secara borong dengan pembekal dari China pun hanya menggunakan kad debit.
- Orang perempuan terutamanya suka membeli belah. Layan shopping online boleh berpusing anak mata hitam. Kad kredit ada, transfer saja. Sakit nanti.
6. Refinance
- Jika bukan untuk hal yang berbaloi atau keperluan sebolehnya elakkan. Sahabat baik saya punya pengalaman perit hal ini. Beliau membuat refinance rumahnya dan duit yang beliau dapat digunakan untuk membesarkan rumah. Nasib kurang baik, ditipu kontraktor pula. Rumah tak siap, duit lesap, hutang makin bertambah, tempoh masa juga bertambah. Ini contoh jerat wang kita tak sedar. Sedar-sedar bila dah berumur kita rasa penat bekerja hanya untuk membayar hutang. Ini contoh sahaja, banyak lagi contoh lain. Sahabat saya ini selalu mengingatkan saya jangan buat silap seperti beliau. Biar hidup sederhana. Terima kasih sahabat!
7. Tak perlu buktikan apa-apa
- Usah bandingkan pinggan kita dengan pinggan orang lain.
- Ini sebenarnya masalah yang kita wujudkan sendiri. Selalu rasa lauk dalam pinggan kita tak cukup dan tak sedap.
- Bersyukur dengan apa yang kita ada.
- Usah dilihat dan diukur kebahagian itu secara luaran. Berkereta mahal, rumah besar, baju berjenama, bercuti sana-sini bukan ukuran kebahagian. Itu mungkin simbol palsu kebahagian sahaja.
- Ramai yang terjerat mendefinisi kebahagiaan secara begini. Tetapi kepala berserabut dengan ketirisan bajet.
Ini antara 7 point penting bagi suri rakyat biasa seperti saya fikirkan. Golongan poket tebal @ jutawan mungkin lain ceritanya. Seperti saya katakan tadi, lain padang lain belalang. Tidak sama senario dan aplikasinya bagi setiap orang.
Didoakan ada manfaatnya.
Sehingga lain entri. Wassalam.
LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram