Sebuah Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) telah membuat laporan polis semalam selepas mendakwa ditipu pelajar lelaki sebuah universiti di utara negeri ini kononnya memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pelajar berusia 20-an yang dikenali sebagai Lim itu menghubunginya pada Ahad lalu meminta bantuan dana bagi membiayai pengajian RM5,000 kononnya keluarga tidak berkemampuan, petik Harian Metro.

Katanya, pelajar terbabit juga memberi alasan dia akan dibuang dari universiti berkenaan jika dia gagal membayar yuran terbabit.

Bagaimanapun beliau terkejut apabila mendapat ‘jawapan’ daripada NGO dari Pulau Pinang selepas meminta mereka membantu pelajar berkenaan.

“Wakil NGO terbabit memberitahu mereka pernah membantu pelajar itu yang kutipan lebih RM30,000 tetapi tidak digunakan untuk membayar yuran, sebaliknya pelajar itu terbabit dalam judi online,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pelajar berkenaan sudah dipanggil.

Bagaimanapun pihak polis tidak membuka kertas siasatan berikutan pelajar terbabit sudah pun memulangkan wang berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan pihaknya menyerahkan kepada pihak universiti berkenaan untuk melakukan siasatan dalaman.