Tragedi kehilangan seorang pelancong Brazil di Gunung Rinjani, Indonesia, mencetuskan kemarahan rakyat Brazil dan mendapat perhatian dunia.
Juliana Marins, 26 tahun, dikatakan terjatuh ke dalam jurang gunung berapi itu pada awal pagi Sabtu pada 21 Jun, selepas dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh pemandu pendakinya ketika dia mahu berehat kerana keletihan.
Tragedi Rinjani: Didakwa Masih Hidup Selepas Terjatuh
Menurut laporan dari Brazil dan perkongsian media sosial, Juliana dilihat masih hidup melalui rakaman dron selepas terjatuh dari ketinggian lebih 500 meter.
Dalam keadaan cuaca berkabus tebal, amat sukar untuk pasukan penyelamat cuba menyelamatkannya, namun beberapa cubaan terpaksa dihentikan kerana faktor keselamatan.
Keadaan ini menyebabkan misi menyelamat mengambil masa lebih panjang daripada yang dijangka, sehingga mengundang rasa tidak puas hati keluarga dan rakyat Brazil.
Kemarahan itu memuncak apabila keluarga mangsa mendakwa tiada tindakan segera diambil dalam 36 jam pertama selepas kejadian.
Mereka turut mempertikaikan komunikasi pihak berkuasa Indonesia yang dikatakan mengelirukan, termasuk laporan kononnya mangsa sudah diberi bantuan air dan makanan, sedangkan kenyataan keluarga menyebut sebaliknya.
Malah, warganet Brazil turut memohon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di media sosial agar kerajaan Indonesia segera bertindak.
Cuaca Jadi Halangan
Gunung Rinjani National Park dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pasukan SAR telah memantau lokasi mangsa dengan dron sejak hari kejadian dan segala usaha dilakukan mengikut keupayaan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Juliana, seorang perunding komunikasi dari Niterói, Brazil, datang ke Asia dengan impian untuk mengenal tanah ini — mendaki, menyelam dan meneroka keindahan alam.
Namun, mimpi indah itu berakhir dengan traedi yang menyayat hati ramai, baik di Indonesia mahupun di Brazil.