Semalam berlaku tragedi nahas melibatkan bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di KM16.5, jalan turun Genting-Bentong menghala ke Kuala Lumpur pada jam 10.43 pagi.
Kemalangan tersebut telah meragut nyawa dua orang rakyat China yang meninggal dunia di tempat kejadian.
Laporan turut menyebut bahawa 19 lagi yang lain cedera, selepas bas persiaran yang dibawa pemandu itu terbalik kerana hilang kawalan.
Buletin TV3 melaporkan bahawa pemandu bas tersebut tidak memiliki lesen. Menurut polis, pemandu bas berusia 32 tahun itu turut memiliki 27 saman lampau melibatkan pelbagai kesalahan trafik selain daripada tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata: “Seramai 19 penumpang warganegara asing yang berada di dalam bas terlibat.
“Manakala tiga warganegara tempatan yang terdiri daripada seorang pemandu bas, seorang pembantu dan seorang pemandu pelancong berjaya dibawa keluar daripada nahas tersebut.
“Seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala enam mangsa yang lain dibawa ke Hospital Bentong.”
Pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan tiba di kawasan kemalangan pada 10.57 pagi. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata:
“Didapati 19 penumpang bas persiaran itu terselamat, manakala dua lelaki warga China meninggal dunia.
“Di dalam bas tersebut terdapat sembilan lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan tiga lelaki warganegara tempatan tercedera dan selamat dikeluarkan oleh anggota bomba.”