Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila terdapat laporan mengenai cadangan untuk memindahkan sebahagian penduduk Gaza, ke negara ASEAN iaitu Indonesia.

Menurut laporan media negara jiran, difahamkan bahawa laporan ini disampaikan oleh utusan Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, pada Ahad, 19 Januari 2025.

Menurut sumber yang dipetik dari The Jerusalem Post dan NBC, Witkoff menyatakan bahawa Trump merancang untuk memindahkan penduduk Gaza ke Indonesia dan rancangan ini akan dimulakan sebaik sahaja proses pembinaan semula Gaza dilaksanakan.

Dia juga merancang untuk melawat Gaza bagi melihat keadaan sebenar di lapangan.

Cadangan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Trump dan pasukannya untuk mencari penyelesaian jangka panjang dalam konflik berterusan antara Israel dan Hamas.

Witkoff turut menegaskan bahawa kehidupan penduduk Gaza perlu diperbaiki demi mengelakkan pemberontakan pada masa hadapan.

Namun, cadangan ini menimbulkan persoalan besar di kalangan masyarakat Palestin dan dunia Arab.

Banyak pihak bimbang bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada taktik Israel untuk mengusir penduduk Palestin dari tanah air mereka.

Cadangan pemindahan ini bukanlah perkara baharu.

Pada Januari 2024, Menteri Luar Negeri Israel, Israel Katz, pernah mencadangkan pemindahan penduduk Gaza ke sebuah pulau buatan di Laut Mediterranean.

Katz menyatakan bahawa pulau ini bertujuan untuk menyediakan penempatan sementara bagi penduduk Gaza, sambil menekankan keperluan untuk mendemilitarisasi kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh pihak Berkuasa Palestin, yang menganggap ia sebagai langkah “pembersihan etnik” secara tersembunyi.

Pemimpin Arab lain turut menyatakan kebimbangan bahawa usul seperti ini hanya bertujuan untuk menstabilkan kedudukan Israel di wilayah yang diduduki.

Laporan tentang Indonesia sebagai destinasi pemindahan ini tentunya mengejutkan.

Sebagai negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, Indonesia sering menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin.

Namun melalui laporan CNBC Indonesia, Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia (Kemlu RI) dengan tegas menyatakan bahawa kerajaan Indonesia belum pernah menerima sebarang maklumat mengenai rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke Indonesia.

“Pemerintah RI tidak pernah mendapatkan informasi apa pun mengenai hal ini,” jelas jurucakap Kemlu RI, Rolliansyah Soemirat, dalam kenyataan media pada Isnin, 20 Januari 2025.