Kes kecurian kabel tembaga semakin menjadi-jadi di seluruh negara sehingga memaksa orang awam untuk mengambil inisiatif sendiri dalam menjejak suspek.

Menerusi satu rakaman video yang tular baru-baru ini, berlaku satu adengan kejar-mengejar yang membabitkan sekumpulan penunggang motor dan sebuah kereta Honda yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel.

Tular Rakaman Geng Motor Kejar Pencuri Kabel, Individu Pesan 'Hati-Hati, Takut Dia Bawa 'L''
Sumber Gambar: Threads @magnito.ge

Sementara majoriti netizen memuji akan keberanian pemuda yang bertungkus-lumus untuk menahan kereta Honda tersebut, kelihatan satu mesej individu yang memberi nasihat penting untuk peringatan umum.

Mendakwa dirinya sebagai wakil pekerja TM bahagian pengendalian berkaitan kabel, dia menyarankan orang ramai untuk menjaga keselamatan kerana dipercayai sebahagian penjenayah sedia membawa senjata berbahaya.

“ Sebagai wakil pekerja TM bahagian cable manhole ni , saya sarankan jangan rapat rapat sangat if kejar pun sebab sebahagian dari diorang ni ada yang bawak pistol,” pesannya.

Namun langkah yang lebih bernas adalah dengan melaporkan kejadian kecurian kepada pihak polis yang berdekatan sewaktu sedang berlaku.

Dia menekankan sekali lagi untuk mengutamakan keselamatan kerana nyawa berpotensi menjadi taruhan namun tetap memuji akan keberanian tindakan geng motor yang mengejar suspek beramai-ramai.

Selain itu, dia memberikan dua kemungkinan senjata yang dipakai oleh pencuri kabel sama ada parang atau yang lebih mengancam nyawa iaitu pistol.

Berkenaan pistol itu, ada netizen lain yang turut mendakwa pernah mendengar insiden yang serupa dan disyaki suspek dengan selambanya menayang pistol sewaktu diperhatikan oleh orang yang lalu lalang.

Penggunaan terma L itu merujuk kepada bentuk pistol yang seakan rupa huruf L.

Ada yang menyoal berapakah harga sebenar kabel sehingga menjadi buruan para penjenayah, lelaki itu tidak memberikan angka secara spesifik tetapi memberi gambaran nilainya sekilo sudah cukup membuatkan seseorang bergelap mata.

Selain itu, sebahagian netizen turut menambah lagi input penting tentang risiko dihimpit oleh penjenayah, jadi perlu wujudnya jarak sewaktu pengejaran.

“Dalam pada itu, saya ingin berpesan kepada orang ramai demi keselamatan bersama. Jika anda kebetulan mengekori pencuri yang sedang mengheret kabel di jalan raya, tolong jangan berada terlalu rapat dengan kabel tersebut.

“Perkara ini sangat berbahaya. Jika kabel itu tiba-tiba melibas, ia boleh merosakkan motosikal anda dengan teruk. Apatah lagi jika yang ditarik itu adalah kabel tembaga (copper), daya libasannya jauh lebih kuat dan lebih membahayakan nyawa,” pesan seorang individu yang berkecimpung di dalam pemasangan kabel berkenaan.

Tular Rakaman Geng Motor Kejar Pencuri Kabel, Individu Pesan 'Hati-Hati, Takut Dia Bawa 'L''
Sumber Gambar: Threads @magnito.ge

Hal ini kerana di dalam video itu kelihatan satu kabel panjang yang ‘melibas’ sewaktu memasuki selekoh ketika adengan kejar-mengejar itu.

Boleh tonton video dengan klik di sini.