Satu video tular di media sosial menyaksikan detik cemas tembak menembak antara polis dan penjenayah warga Afrika.

Kejadian berlaku di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor pada jam 6.59 petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan bahawa suspek telah bertindak melepaskan sebanyak lima das tembakan ketika polis mengarahkannya untuk memberhentikan kenderaan.

Suspek merupakan individu yang dikehendaki polis. Dia merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan penjenayah samun di sekitar Lembah Klang. Mereka aktif melakukan aktiviti samun sejak 2018.

Dipetik dari laman Buletin TV3, Suhaily berkata: “Dalam insiden kejar mengejar dua das tembakan telah mengenai kenderaan polis sebelum suspek berjaya ditumpaskan.

“Suspek bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes. Jumlah kerugian sebanyak hampir RM8 juta.”

Polis masih memburu 10 lagi suspek yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver yang digunakan oleh suspek ketika kejadian tembak menembak tersebut.

Modus operandi mereka adalah memancing mangsa mereka di media sosial untuk terlibat dalam pelaburan palsu, atau jualan barang kemas serta pertukaran matawang.

Mereka akan berjumpa dengan suspek di hotel, dan kemudian mangsa dibawa ke lokasi seterusnya bersama sama dengan mereka dalam satu kereta yang sama. Sebelum ahli kumpulan mereka yang lain menyerang mereka menggunakan senjata dan menyamun mangsa.