Apabila mahu bergerak ke sesuatu destinasi, aplikasi Waze bakal menjadi ‘peneman’ yang wajib oleh sejumlah pemandu. Aplikasi navigasi tersebut yang mudah diakses dan dipercayai sumbernya telah memudahkan orang ramai sampai dengan lebih cepat.
Walaupun pada mulanya dianggap satu ‘kemudahan’, namun ia boleh bertukar menjadi mimpi ngeri apabila didakwa sering kali membawa pengguna ke jalan alternatif yang jauh nun di tempat yang tidak dilalui oleh orang ramai.
Dalam sebuah video yang dikongsikan di TikTok oleh @meknamohta, wanita itu dilihat memandu melalui laluan yang kelihatan seperti denai hutan, dikelilingi pokok-pokok tebal di kedua-dua belah sisi.
Hanya sesuai kereta off-road
Jauh berbeza daripada jalan raya biasa yang licin, laluan ini lebih menyerupai denai yang paling sesuai untuk kenderaan off-road.
Apa yang menjadikan keadaan itu lebih mengejutkan adalah dia tidak bersendirian. Beberapa kereta lain juga dilihat melalui laluan sempit yang sama.
Ramai ‘terciduk’
Dalam video itu, beberapa kenderaan pada mulanya berhenti di jalan satu lorong itu, yang hampir tidak muat untuk satu kereta pada satu masa, sebelum akhirnya bergerak semula apabila jalan di hadapan menjadi lapang.
“Angkara Waze. Ceruk mana dia bawak, kalau kereta depan rosak jenuh semua sangkut,” keluh wanita itu pada teks yang diletakkan pada video.
Lokasi lencongan yang tidak dijangka itu didedahkan berada di Jeli, Kelantan.
Dilaporkan bahawa dia dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halamannya apabila Waze mengarahkannya ke laluan yang tidak konvensional itu.
@meknamohtar
Video yang dikongsikan itu langsung mengundang perhatian ramai dan agak mengejutkan apabila ramai mengakui sudah menghadapi perkara yang sama sewaktu menggunakan Waze.
Ramai berkongsi yang mereka sudah biasa dibawa ke jalan-jalan terpencil dan kurang diselenggara oleh aplikasi navigasi itu lebih-lebih lagi semasa musim perayaan apabila jalan raya sesak lantas aplikasi itu mencadangkan jalan pintas alternatif.
“Kalau kawasan kampung, elakkan guna waze.. Dia akn bawa kite jalan shortcut yg tah apa2.. Lorong2 tepi hutan, tepi sawah..pernah kena dulu.. Menyeramkan,” tulis seorang netizen.
“Sy pernah kena tipu dengan Waze, dari batu kawan nk ke bukit tengah ja, waze bawak makan angin naik jambatan, pusing ikut batu maung.. Hahaha.. Lepas tu mmg tak percaya Waze dah,” kongsi seorang lagi.
“Sejak kena prank dgn waze dh bertahun2 saya tk pernah pcaya waze dh. Hingga kini setia dgn google map je,” ujar seorang netizen.
“Ramai-ramai kena scam dgn waze takpelah. Kalau sorangg2 naya jugak,” kata seorang netizen lain.
Oleh sebab itulah orang ramai mendakwa mereka sudah beralih ke aplikasi pesaing rapat lain iaitu Google Maps yang didapati lebih dipercayai dalam memberikan panduan navigasi laluan yang lebih efektif dan selamat.