Seorang penunggang motosikal ditemui maut dalam kawasan semak selepas tiga hari nahas menimpanya dalam kejadian di Kilometer 22, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata siasatan awal mendapati mangsa berumur 46 tahun itu menunggang secara solo menuju ke arah Hentian Titiwangsa, di sini, kira-kira jam 11.15 pagi Jumaat lalu.

Baca Juga:

Beliau berkata, mayat mangsa hanya dijumpai pada kira-kira 5.30 petang semalam oleh rakan-rakan yang berusaha menjejaki dan mencari mangsa dengan berpandukan laporan polis berkaitan kehilangan yang dibuat oleh bapanya kira-kira jam 1.58 petang semalam di Balai Polis Kuala Ketil, Kedah.

“Ketika sampai di tempat kejadian iaitu pada Jumaat lalu, motosikal mangsa iaitu jenis Kawasaki Ninja ZX636 dipercayai gagal dikawal, menyebabkan mangsa dan motosikalnya terbabas ke dalam semak berdekatan.

“Rakan-rakan mangsa yang berjaya menjejakinya di tempat kejadian, semalam kemudiannya terus melaporkan penemuan itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, susulan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin di talian 013-4487374 bagi membantu siasatan.

Tambah Zulkifli lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber