Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor mendedahkan faktor utama mengapa kelabnya berpisah dengan pengendali sebelum ini iaitu Esteban Solari.
Dalam satu soal jawab bersama penyokong JDT di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam malam tadi, Tunku Ismail berkata permintaan yang terlalu tinggi menjadi punca Solari meninggalkan pasukan.
Baca Juga:
- Esteban Solari Tinggalkan Eveton, Bakal Kendalikan Harimau Malaya?
- JDT Umum Nama Yang Akan Tinggalkan Pasukan, Esteban Solari Tidak Terkecuali
- Insiden Baling Botol, AFC Bakal Hukum JDT?
Esteban Solari Minta Naik Gaji Tinggi

“Semasa kita tamatkan kontrak Tano Solari, kita terpaksa membawa masuk jurulatih yang boleh mengendalikan bilik persalinan kerana pada masa itu agak teruk.
“Pemain enggan beraksi untuk jurulatih ketika itu. Masa itu saya tak teruskan pakai khidmat Solari kerana dia minta gaji tinggi. Gaji dia USD400 Ribu lebih setahun. Tapi dia minta saya USD1.5 Juta.
“Saya terpaksa tidak meneruskan khidmatnya. Saya beritahu saya tak mampu nak bayar dia. Dia kemudiannya meninggalkan pasukan dan menyertai kelab yang membayar gajinya tak sampai USD200 Ribu,” kata Tunku Ismail.

Pada Disember 2024, Esteban Solari meninggalkan kelab Chile iaitu Everton de Viña del Mar selepas satu musim membimbing kelab tersebut.
“Berakhir sudah satu musim yang cukup baik, dengan perasaan gembira kerana kita layak ke Copa Sudamericana. Perjalanan yang amat sukar namun kita tetap bersama-sama. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada orang penting dalam projek ini.
“Terima kasih kepada semua pemain yang percaya dengan idea ini, tak lupa juga staf kejurulatihan pasukan. Terima kasih di atas tahap profesional anda.
“Kepada peminat Everton, yang menyokong kami melalui masa yang paling sukar, jangan pernah berhenti mempercayai kelab ini. Sokongan anda lebih penting daripada yang anda bayangkan. Terima kasih,” kata Solari.
Selain Solari, beberapa staf kejurulatihan dan pemain meninggalkan JDT sebelum saingan musim ini bermula.
“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Tano Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.
“Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan JDT.