Kisah ini bukanlah riwayat yang terjadi di Korea Selatan, namun ianya kisah yang terjadi di salah sebuah IPTA dalam negara.

Sebaik sahaja ‘mortar board’ dibaling ke langit pada hari konvokesyen ijazah sarjana muda, ianya jatuh semula ke bawah menimpa muka saya. Maka, perjuangan mencari makna kehidupan bermula. Bekerja, tepu, dan akhirnya meletak jawatan.

“Escapism” dari dunia pekerjaan ialah satu sebab kenapa saya nekad untuk memijak kaki semula di bumi Universiti Malaya. Rutin kampus bermula seperti lazimnya, namun ianya satu juta kali lebih mencabar daripada sebelumnya.

Pertama, cabaran mencari pembiayaan kos pengajian berdasarkan keadaan ekonomi negara yang memberi impak kepada bidang pendidikan. Alhamdulillah, saya tersangkut dalam kelompok terakhir yang diberi pinjaman MARA sebelum polisinya berubah.

Apabila tirai semester dibuka, hidup saya berubah 180° dengan cara yang tragis. Dengan kelas yang padat, dengan pensyarah sehingga 2–3 orang dalam setiap subjek, dengan tugasan menimbun, dan akhirnya saya diberikan seorang penyelia tesis yang merupakan pensyarah dari Korea Selatan!

Cuba ubah sikap dan rutin

Semuanya serba tak kena, serba tak menjadi, sehinggalah saya ambil keputusan drastik untuk membuat Revolusi Meiji terhadap sikap dan rutin harian saya.

Saya berhenti bermain media sosial selama 2 tahun, saya berhenti bersosial dengan orang yang tidak penting. Tidur hanya 5-6 jam sehari. Saya pergi ke perpustakaan 7 hari seminggu selama 12 jam sehari selama 2 tahun. Dan makan hanya dua kali sehari untuk berjimat.

Tekanannya memang sangat terasa tapi ini saja cara untuk saya teruskan pengajian. Dalam erti kata lain, ini juga adalah cara saya membentuk disiplin diri.

Hanya dapat satu A- dan pengurangan pinjaman Mara

Tapi di akhirnya segala perit jerih ini terasa berbaloi. Saya hanya mendapat satu A- daripada seorang pensyarah yang bergelar Prof. Emeritus Dato’ sehingga tamat pengajian.

Dan ini pula balasan MARA kepada saya. Daripada pinjaman sebanyak RM 26,306.00, saya hanya perlu membayar RM 9,595.25. Anda boleh memohon pengurangan di e-conversion, malah ada yang sempat memohon isentif50, pengurangannya adalah lagi banyak.

berkorban-demi-pelajaran-2

berkorban-demi-pelajaran-3

berkorban-demi-pelajaran-4

Hadiah dari pensyarah Korea

Pada hari konvokesyen, Dr. Kim yang telah 20 tahun lebih menetap di Malaysia, fasih berbahasa Melayu, dan seorang yang sangat baik memberi satu balasan yang tidak saya sangka.

Ia adalah hadiah sebatang pen yang bagi saya sangat mahal harganya. Mahal dengan memori dan kenangan hidup saya sebagai seorang pelajar yang sanggup menular segala rutin hidup. Nomu kamsahamnida!

berkorban-demi-pelajaran-5

Teringat dulu pernah saya dikritik oleh manusia di sekeliling, “kau ni tiada life lah” kerana rutin harian saya yang ala-ala Korea demi menyiapkan pengajian. Namun di akhirnya, ada antara mereka yang terkandas dalam pengajian dan saya hanya mampu ketawa sahaja.

Kawan, ketahuilah. Sikap tipikal mu itulah sebenarnya yang telah membataskan kebolehan diri. Apa yang boleh ku katakan adalah pengorbanan itu perlu demi satu kejayaan. “Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya” (An-Najm: 39).

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr. Kim (penyelia tesis), Dr. Shaharuddin, dan, pensyarah-pensyarah lain kerana kebaikan mereka. Hanya Allah dapat membalas budi baik mereka.

Dalam bahagian penghargaan tesis saya, saya telah menulis ini :

“Saya sangat berterima kasih kepada keluarga saya yang berada di Sabah. Walaupun ianya jarang dizahirkan, terutamanya kepada ibu saya yang tidak pernah bersekolah, namun berjaya menyekolahkan saya.

Saya juga berterima kasih kepada diri saya sendiri kerana berjaya bertahan dan sampai ke tahap ini. Saya ingin mencabar diri saya dalam perjalanan yang seterusnya. Saya juga berasa sangat ‘curious’ dengan perjalanan tersebut iaitu perjalanan kehidupan dan Ph.D!”

Baca lagi: Nazri Berjaya Tukar Stress Kepada Gembira Sewaktu Buru PhD Di Oxford Dan Ini Rahsianya