Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ke-15 selepas menewaskan kelab Jerman, Borussia Dortmund 2-0 pada final di Wembley awal pagi tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, Real Madrid lebih kerap diasak Dortmund tetapi akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Dani Carvajal dan Vinicius Jr.

Baca Juga:

Bek kanan veteran, Carvajal menanduk bola sepakan sudut diambil Toni Kroos pada minit ke-74, dan hanya selepas jaringan itu skuad kendalian Carlo Ancelotti mula mendominasi permainan.

Vinicius menolak masuk gol kedua Real pada minit ke-83 untuk memastikan gelaran Eropah ke-15 Real.

Ia kekalahan yang memeritkan buat kelab Jerman itu selepas beberapa peluang keemasan membuka jaringan di babak pertama gagal dimanfaatkan, terutama menerusi percubaan jarak dekat Niclas Fullkrug yang terkena tiang.

Fulkrug akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois di akhir permainan, namun jaringan berkenaan tidak dikira kerana ofsaid.

Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui perlawanan itu lebih sukar daripada jangkaan juara Sepanyol itu.

“Saya tidak biasa dengannya, kerana ia sangat sukar, lebih daripada yang dijangka. Di babak kedua kami lebih baik, lebih seimbang, kurang kesilapan.

“Ia adalah impian yang berterusan. Di babak pertama kami sambil lewa, kerap hilang bola dan mereka bermain seperti dirancang,” kata Ancelotti.

Pemain tengah Real, Jude Bellingham menganggap ia adalah malam terbaik dalam hidupnya.

“Saya sentiasa impikan bermain dalam perlawanan sebegini. Anda mengharungi kehidupan dengan orang sering berkata yang anda tidak mampu melakukan apa-apa.

“Saya terharu apabila melihat wajah ibu dan bapa saya. Adik saya juga hadir dan saya cuba untuk menjadi contoh kepadanya. Sukar untuk digambarkan. Malam terbaik dalam hidup saya,” kata Bellingham.