Hatrik daripada Kylian Mbappe memastikan kemaraan Real Madrid ke pusingan 16 UEFA Champions League (UCL) 2024/25 yang sekali gus menyingkirkan Manchester City daripada persaingan dengan kemenangan 6-2 secara agregat.

Memiliki kelebihan satu gol ketika menang 3-2 pada aksi pertama di Etihad Stadium tempoh hari, Real Madrid tampil garang untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Manchester City.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan dengan jaringan seawal minit keempat yang dihasilkan Mbappe untuk menceriakan penyokong Real Madrid.

Berpunca daripada hantaran jauh Raul Asencio dari kawasan sendiri, Mbappe melakukan percubaan lambung yang menewaskan Ederson Moraes ketika penjaga gol itu sedikit keluar daripada posisinya untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.

Mbappe terus membuktikan kehebatannya apabila beliau mengawal keadaan dengan baik dalam kawasan penalti lawan dan menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-33.

Bintang Perancis itu melengkapkan hatriknya pada minitg ke-61 hasil percubaan kaki kiri yang tidak mampu diselamatkan Ederson untuk mengukuhkan kedudukan.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu cuba untuk bangkit menerusi jaringan Nico Gonzalez pada masa kecederaan tetapi ia tidak mampu untuk menghalang kemaraan Real Madrid ke pusingan 16 kejohanan dengan format baharu itu.

Selain itu dalam perkembangan lain, Juventus ditunjukkan jalan keluar oleh PSV Eindhoven selepas tewas 3-4 secara agregat apabila tunduk 1-3 pada aksi di gelanggang lawan.

Paris Saint-Germain (PSG) tidak berdepan masalah untuk mara selepas membelasah Brest 7-0 (agregat 10-0) manakala Borussia Dortmund yang terikat tanpa jaringan menang dengan agregat 3-0 ke atas Sporting CP.