Disebuah makmal pada tahun 1960. Beberapa orang kanak-kanak pra-sekolah dijemput duduk di sebuah meja dan dihidangkan dua keping biskut.
“Anda nampak dua biskut ini,” tanya Mischel, seorang professor dari Stanford, kepada seorang kanak-kanak.
“Anda boleh makan satu sahaja jika anda mahu, tetapi jika anda tunggu sehingga saya kembali, anda boleh makan kedua-duanya. Saya akan pergi selama 15 minit.” Kemudian kanak-kanak tersebut mengangguk.
Apabila Mischel keluar, ada yang menutup sebelah mata sambil menahan diri daripada memakan biskut tersebut. Ada yang terus memakan kedua-duanya dan ada yang menunggu dengan sabar.
Hasil kajian menunjukkan 72% kanak-kanak pra-sekolah akan memakan biskut tersebut. Jumlah peratusan akan berkurang kepada 49% apabila mereka darjah 4 dan 38% apabila mereka darjah 6.
Berjaya ataupun tidak kanak-kanak tersebut menahan diri bergantung kepada kemahiran minda yang disebut sebagai Impulse Control
Apa itu Impulse Control
Impulse control adalah kemahiran minda yang membantu kanak-kanak untuk berfikir sebelum bertindak. Impulse Control juga disebut sebagai kemampuan mengawal diri.
Kanak-kanak yang berjaya dalam ujian biskut tersebut adalah mereka yang mampu menapis segala gangguan negatif dan fokus kepada arahan yang diberikan.
Impulse Control Membantu Kecemerlangan Akademik
Menurut penyelidik Sains Neuro, Sandra Aomodt dan Sam Wang, Impulse Control adalah dua kali lebih penting daripada kepandaian. Kanak-kanak yang mahir menggunakan Impulse Control mempunyai keupayaan untuk berfikir lebih baik sebelum menyelesaikan sesuatu soalan.
Mereka juga mempunyai keupayaan lebih baik dalam berfikir secara kritis ketika menyelesaikan sesuatu masalah. Di dalam kecemerlangan akademik, kemahiran minda ini menjadi tanda aras yang lebih penting berbanding ujian IQ.
Dr. Russell Barkley, seorang penyelidik ADHD, juga mengesahkan kanak-kanak yang mahir Impulse Control lebih fokus ketika belajar kerana kemampuan mereka mengawal diri daripada stimulasi tidak penting dalam persekitaran.
Selain itu, mereka juga akan lebih mudah beratur, menunggu giliran ketika bermain dan mudah mendengar kata. Walaupun tanpa pengawasan ibubapa atau orang dewasa, mereka mampu mengawal tingkah laku dan larangan yang diberikan.
Marah Tidak Membantu Impulse Control
Ibubapa akan kecewa dengan anak yang mempunyai masalah Impulse Control. Mereka mengharapkan anak mereka berkelakuan baik sama seperti rakan sebaya yang lain. Setiap kanak-kanak mempunyai tahap Impulse Control yang berbeza.
Ada yang lebih baik daripada yang lain. Berleter, ugut, menghukum dan memarahi bukanlah langkah yang efektif membuatkan mereka mendengar kata. Mereka mungkin berpura-pura baik didepan anda kerana takut dimarahi.
Elakkan daripada memalukan dan menyalahkan mereka. Pastikan apa yang anda jangkakan selaras dengan umur mereka. Impulse Control berkembang dalam diri kanak-kanak pada kadar yang berlainan.
Cara Mengasah Impulse Control
Semua bayi yang lahir tidak memiliki keupayaan ini. Ia adalah kemahiran yang dikuasai melalui stimulasi samaada secara sengaja ataupun tidak ketika kanak-kanak membesar. Sebagai ibubapa anda dapat membantu anak anda dengan melakukan beberapa perkara ini:
1. Ajar mereka tentang perasaan
Terangkan kepada mereka perbezaan antara perasaan dan perangai. Apabila marah tidak semestinya mereka perlu menjerit. Kanak-kanak yang memahami tentang perkara ini membantu mereka mampu mengawal diri dan mengasah kemahiran Impulse Control.
2. Ajar mereka mendengar
Kadang-kala kanak-kanak bertindak melulu kerana mereka tidak mendengar dengan baik. Seringkali apa yang anda perkatakan tidak akan dipatuhi. Apabila anda menerangkan sesuatu, minta mereka ulangi arahan yang diberikan supaya ia akan kelihatan lebih jelas.
3. Berlatih untuk tangguhkan kepuasan
Kanak-kanak akan terus meminta sesuai yang dingini. Jangan terus tunaikan perkara tersebut. Tangguhkan dahulu dan tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk ditunaikan. Ini memberikan ruang kepada kanak-kanak tersebut untuk berlatih menangguhkan kepuasan.
4. Galakkan aktiviti fizikal
Kanak-kanak yang aktif bersukan lebih mahir dalam Impulse Control. Sukan banyak menggunakan gerak hati, fokus, ketepatan dan kesabaran. Ia sangat membantu mengasah kemahiran ini dalam diri anak anda.