UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) melakar satu pencapaian bermakna melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Sebagai tanda sokongan padu terhadap agenda kelestarian nasional, UMWT telah menyerahkan barisan kenderaan elektrifikasi berteknologi tinggi kepada MOT.
Baca Juga:
- Jangan Terkejut Nampak Toyota Corolla Altis JPJ Atas Jalan Nanti, Itu Kereta Apa?
- UMW Toyota Labur RM20 juta, Lahirkan 7,000 Graduan Berkemahiran Tinggi
- Sime Darby Perkukuhkan Sektor Automotif Domestik, Beli UMW Pada Harga RM3.57 Bilion
Lima kenderaan elektrifikasi canggih itu terdiri daripada tiga kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) – Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross.
Sementara dua lagi kenderaan Elektrik Bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

MOT berpeluang menilai keupayaan sebenar teknologi elektrifikasi dari sudut kesesuaian, prestasi serta manfaatnya dalam konteks penggunaan harian kelima-lima kenderaan tersebut.
“Perjalanan Malaysia menuju pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bukanlah sekadar visi kosong, tetapi satu misi bersama yang menuntut kerjasama erat dari segenap sektor.
“Komitmen kami disertai dengan tindakan yang memberi makna, nilai dan impak sebenar. Ia membolehkan pembuat dasar menyelami dan merasai sendiri keupayaan teknologi elektrifikasi,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Sementara itu, Mohd Shamsor Mohd Zain, Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor berkata teknologi hibrid terus menjadi nadi utama dalam pelan elektrifikasi Toyota, khususnya dalam konteks pasaran seperti Malaysia.
“Keupayaannya mengurangkan pelepasan karbon secara serta-merta tanpa memerlukan perubahan besar kepada ekosistem sokongan menjadikannya pilihan paling ideal.
“Ia bukan sekadar menawarkan penyelesaian praktikal, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sambil membuka jalan yang lebih lancar dan progresif menuju masa depan mobiliti elektrik sepenuhnya,” jelas beliau.

Kerjasama antara UMWT dengan MOT ini merupakan sokongan padu terhadap Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030, yang menyasarkan peningkatan penggunaan kenderaan elektrifikasi (xEV) sebanyak 15% menjelang 2030 dan melonjak ke 38% menjelang 2040.
Melalui kerjasama ini juga, UMWT turut mengilhamkan perubahan dasar, mencorakkan pemikiran dan membentuk hala tuju negara ke arah masa depan rendah karbon yang berimpak tinggi.