UMW Toyota Motor melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluaskan Program Pendidikan Teknikal Toyota (T-TEP).

Sejak dilancarkan pada tahun 1991, T-TEP telah berkembang pesat menjadi satu model kerjasama industri-pendidikan yang menyeluruh dan berdaya tahan.

Pada peringkat awal hanya ada lima institusi sebagai rakan kongsi dan kini angka tersebut meningkat menjadi 25 rakan kongsi. Setiap institusi ini telah mengintegrasikan silibus latihan bersepadu Toyota dan dilengkapi dengan peralatan canggih, termasuk simulator enjin hibrid dan elektrik.

UMW Toyota Labur RM20 juta, Lahirkan 7,000 Graduan Berkemahiran Tinggi
Sumber Gambar: UMW Toyota

Setakat ini, UMW Toyota Motor telah melaburkan hampir RM20 juta dalam T-TEP, yang telah melahirkan kira-kira 7,000 graduan berkemahiran tinggi di seluruh negara.

“T-TEP bukan hanya sekadar melatih pelajar untuk mengisi peranan asas dalam industri; ia adalah gerbang kepada dunia sebenar yang mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin masa hadapan dalam bidang automotif.

“Melalui program ini, kita melihat bagaimana pihak industri boleh berganding bahu secara aktif dalam membentuk barisan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selari dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030,” kata Encik Mohd Shamsor Mohd Zain, Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor.

UMW Toyota Labur RM20 juta, Lahirkan 7,000 Graduan Berkemahiran Tinggi
Sumber Gambar: UMW Toyota

Terdapat lebih 100 pusat servis dan tiga kilang pembuatan yang strategik di seluruh negara, UMW Toyota tampil sebagai pemangkin kepada pembelajaran praktikal yang berimpak tinggi.

Peluang latihan industri yang ditawarkan bukan sahaja memberi pengalaman berharga, malah mendedahkan mereka secara langsung kepada standard profesional, kemajuan teknologi, dan inovasi yang menjadi penggerak utama dalam landskap mobiliti masa kini dan akan datang.

UMW Toyota Labur RM20 juta, Lahirkan 7,000 Graduan Berkemahiran Tinggi
Sumber Gambar: UMW Toyota

Menurut UMW Toyota, T-TEP bukan sekadar sebuah program latihan—ia adalah cerminan falsafah korporat Toyota yang komprehensif iaitu Move Your World.

Melalui pemerkasaan kemahiran, pembentukan kerjaya, dan transformasi kehidupan, UMW Toyota berperanan sebagai pemangkin kepada kelahiran generasi baharu yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah memiliki keyakinan diri dan ketahanan mental yang tinggi.

“Kami di UMW Toyota percaya bahawa setiap bentuk kemajuan bermula daripada manusia. T-TEP adalah lambang kesungguhan kami dalam menjadikan kecemerlangan automotif sebagai jambatan untuk memperkasa kehidupan. Melalui ilmu, peluang dan matlamat yang jelas, kami beriltizam membina komuniti yang lebih sejahtera.

“Ketika industri terus berkembang, kami memastikan pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan bakat turut diperkukuh, agar tiada sesiapa pun ketinggalan.

“Beginilah kami menggerakkan dunia ke hadapan—dengan membantu insan menggerakkan dunia mereka,” kata Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.