Jambatan Barelang, ikon pelancongan yang menghubungkan pulau-pulau indah di Batam, kini mendapat perhatian bukan hanya kerana keindahannya tetapi kerana tragedi yang berlaku di sana iaitu bunuh diri, lapor Batam Today.
Berdasarkan data daripada Basarnas pada tahun 2024, jambatan ini mencatatkan lima kes bunuh diri, dengan empat mangsa maut dan satu terselamat.
Dalam usaha untuk mencegah kejadian-kejadian ini daripada terus berulang, Yayasan An Nubuwwah Batam mengambil inisiatif mengadakan aktiviti ruqyah di jambatan tersebut.
Ruqyah ini dimulakan dengan solat dua rakaat yang dipimpin oleh seorang ustaz dari Yayasan An Nubuwwah.
Selepas itu, solat hajat dan solat ghaib turut dilakukan, diiringi dengan doa memohon keselamatan dan keamanan di kawasan jambatan tersebut.
Selepas itu, air yang telah dibacakan doa itu disimbah sepanjang tepi Jambatan Barelang, dengan harapan membersihkan kawasan itu daripada unsur-unsur negatif.
Candra P. Pusponegoro, pengerusi Yayasan An Nubuwwah Batam berkata bahawa beliau tergerak hati untuk mengadakan ruqyah di jambatan ini kerana ia sering menjadi lokasi pilihan untuk bunuh diri.
Beliau juga berkongsi bahawa beberapa pesakitnya kerap mendengar bisikan yang mengajak mereka mengakhiri nyawa di tempat tersebut.
“Pesakit-pesakit yang kami rawat mengatakan mereka dipanggil dan dibisikkan untuk mengakhiri hidup di sini. Puluhan orang dari pelbagai daerah di Batam melaporkan hal yang sama,” kata Candra.
Candra turut meluahkan kebimbangan beliau berdasarkan laporan media mengenai kes-kes bunuh diri di jambatan itu.
“Dalam Islam, bunuh diri adalah dosa besar. Masalah tidak akan selesai dengan bunuh diri, malah akan menambah beban kepada keluarga yang ditinggalkan,” jelas Candra.
Solat ghaib yang diadakan di Jambatan Barelang juga bertujuan untuk mendoakan mereka yang telah meninggal dunia di kawasan tersebut.
Menurut Candra, kawasan jambatan itu mungkin pernah menjadi lokasi kematian pada zaman dulu atau tempat semadinya kapal-kapal purba.
“Solat ghaib ini adalah untuk mendoakan mereka yang mungkin telah meninggal di kawasan ini dahulu. Kita sebenarnya melalui lokasi yang mungkin pernah menjadi tempat tinggal atau persemadian orang dahulu. Kita berdoa agar tempat ini diberkati dan dijauhkan dari perkara buruk,” tambah beliau.
Candra juga menekankan bahawa satu lagi insiden bunuh diri di Jambatan Barelang akan memberi kesan negatif kepada peniaga kecil di kawasan tersebut.
Jumlah pengunjung akan berkurangan, sekali gus menjejaskan ekonomi tempatan.
“Jika jambatan ini menjadi lokasi berhantu atau dianggap tempat suci, ia akan mengurangkan jumlah pelancong. Ini akan menjadi masalah besar kepada peniaga di sini. Ekonomi mereka akan terjejas. Dengan ruqyah, kita berharap tempat ini akan bebas daripada unsur-unsur negatif,” katanya.