Pada hari semalam, Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi akaun X.com telah mengumumkan ‘menyingkir’ pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal kerana didakwa memetik hadis lemah semasa mengendalikan program Salam Baitullah.

Sehubungan itu, Ustaz Don telah mengadakan sidang media tergempar di Smoked Kingdom by Don Daniyal pada malam semalam.

Beliau menafikan mengingkari arahan stesen penyiaran berkenaan dan berasa menjadi mangsa manipulasi, petik Berita Harian.

“Mereka hanya mendengar daripada satu pihak tanpa menyiasat hingga kenyataan saya dimanipulasi.

“Ketika bersiaran saya tidak sebut langsung mengenai hadis, tetapi saya memetik kitab ditulis oleh Imam An Nawawi Al Bunyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith yang menghuraikan (Syariah) kitab Lubab Al Hadith.

“Beliau orang Melayu (Nusantara) yang menjadi imam Masjidil Haram.

“Mana mungkin Imam menulis perkara salah dan kalau saya memetik kitab berkenaan maksudnya Imam ini juga melakukan kesilapan,” katanya kepada pengamal media yang hadir sidang media tersebut.

Tambah beliau lagi, beliau mahu mengalakkan masyarakat untuk memuliakan — itulah tujuan utama beliau memetik kitab berkenaan.

“Saya gunakan perkataan ulama untuk memuliakan guru, berbeza daripada apa yang didakwa. Ini kerana saya beri motivasi kepada orang ramai untuk beramal.

“Kita timbulkan penghormatan kepada guru, sambut dengan selawat, tetapi manipulasi tercetus sebab hanya sekerat sahaja video dilihat, bukan keseluruhan program berdurasi lebih sejam itu,” jelasnya.

Beliau menafikan ‘sengaja’ mengulangi kesilapan sama. Ini kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  sudah memberikan garis panduan lebih awal ketika mengadakan pertemuan, baru-baru ini.

“Saya baru sahaja dipanggil JAKIM dan sudah diberitahu mengenai garis panduan berceramah supaya pendakwah berhati-hati dalam memilih perkataan dan jangan letak sewenang-wenangnya pada Nabi,” tegasnya.

Bagaimanapun Ustaz Don enggan memanjangkan isu, serta mahu terus berfikiran positif dengan memaafkan semua pihak.

“Saya memaafkan semua orang sebab malu saya kepada Imam Syafie. Sebab Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya dipenjara.

“Saya baru sedikit sahaja, direhatkan. Tidak ada terguris di hati kerana saya mengasihi semua umat Nabi Muhammad,” jelasnya.