Tahun ini, seorang vendor minuman di Bazaar Ramadan Kuala Besut, Terengganu, boleh ‘raya sakan’ selepas meraih keuntungan sehingga RM7,000 sehari dengan menjual 113 jenis minuman.
Suriane Abdullah, 29, mengambil risiko besar dengan menawarkan lebih 100 variasi minuman kepada pelanggannya.
Berbanding tahun lepas, beliau menambah lebih 30 jenis minuman baharu, menjadikan pilihan di gerainya antara yang paling pelbagai di bazaar tersebut.
Antara minuman yang ditawarkan termasuk 40 jenis minuman berperisa, 50 jenis mixed shake, tujuh minuman boba, lapan float drink, lima jus buah, laici kang, cendol, dan gabungan unik cendol dengan laici kang.
Dalam temubualnya bersama Utusan, Surianie akui, menjual pelbagai jenis minuman seperti ini adalah satu risiko kerana tiada penjual lain di sini yang menawarkan pilihan sebanyak ini.
Namun, dengan lokasi gerai yang strategik dan tekad yang kuat, beliau mengambil risiko tersebut – dan hasilnya sangat memberangsangkan.
Bazaar Ramadan: 3,000 Cawan Minuman Sehari
Sejak permulaan Ramadan, Suriane berjaya menjual kira-kira 3,000 cawan minuman sehari, termasuk yang dibungkus dalam plastik.
Untuk memenuhi permintaan yang tinggi, beliau menggunakan hampir 200 kilogram gula setiap hari.
Gula tersebut direbus terlebih dahulu sebelum dicampurkan ke dalam minuman bagi memastikan kebersihan dan mengelakkan sebarang masalah kesihatan seperti keracunan makanan.
Selain itu, beliau juga memastikan semua minuman disediakan segar setiap hari.
Sekiranya ada lebihan, minuman tersebut akan diagihkan kepada pengunjung bazaar atau didermakan ke masjid-masjid berhampiran untuk dijadikan hidangan berbuka puasa.
Kejayaan Suriane bukan sahaja membuktikan bahawa risiko yang diambilnya berbaloi, tetapi juga menjadi inspirasi kepada peniaga lain untuk berani mencuba sesuatu yang berbeza.
Dengan pilihan minuman yang pelbagai, beliau berjaya menarik perhatian ramai pelanggan, termasuk mereka yang mencari kelainan semasa berbuka puasa.