Lapan individu, termasuk tujuh lelaki dan seorang wanita, kini ditahan polis sejak semalam untuk membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki yang menjadi mangsa pukul sekumpulan individu di sebuah rumah flat di Plentong pada Jumaat lalu.
Memetik BuletinTV3, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, Ketua Polis Daerah Seri Alam, penangkapan tersebut dilakukan setelah pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada hari Sabtu lepas.
Menurut beliau, permohonan reman sedang diuruskan untuk semua individu yang ditahan bagi membolehkan siasatan yang lebih mendalam dilakukan.
Semalam, sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh antara lima hingga tujuh orang di dalam sebuah rumah di tempat kejadian menjadi viral di media sosial.
Akibat insiden tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan memerlukan sembilan jahitan, iaitu tiga di bibir kanan dan enam di telinga kiri.
Lelaki berusia 21 tahun itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang.
Kejadian bermula apabila mangsa menerima SMS sekitar jam 5 petang Jumaat lalu daripada seorang wanita yang dikenalinya, meminta ditemani di rumah sewanya di Plentong.
Mangsa tiba di sana sekitar jam 9.30 malam. Selang beberapa waktu, tiga lelaki asing muncul, salah seorang dipercayai bersenjata.
Kemudian, tiga lagi lelaki keluar dari bilik dan menyerang mangsa beramai-ramai, termasuk menggunakan kayu. Mangsa kemudian melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Plentong, Seri Alam pada kira-kira jam 11.14 malam Sabtu.