Setelah sekian lama dinantikan para peminat, kini Les’ Copaque sudah memberi ‘hint’ yang mereka bakal melancarkan permainan Upin Ipin hasil ciptaan bakat tempatan.

Pendedahan ini telah dibuat oleh seorang pencipta konten tempatan bernama Zhafvlog menerusi akaun X di mana berkongsi sebuah video sneak peak berkisarkan corak permainan untuk Upin&Ipin Universe berkenaan.

Menerusi video berkenaan, kelihatan pemain boleh menggunakan karakter utama Upin dan Ipin sambil menerokai keindahan Kampung Durian Runtuh dengan lebih dekat.

Dengan membawa konsep open world, ia bakal memberikan pengalaman yang imersif buat para pemain boleh bergerak dengan bebas serta berinteraksi dengan karakter lain seperti Opah, Tok Dalang dan ramai lagi.

Antara maklumat terbaharu yang dikongsikan berkaitan permainan ini adalah ia bakal dilancarkan pada tahun ini serta sedia ditawarkan menerusi dua platform konsol permainan iaitu PlayStation 5 dan Nintendo Switch.

Terdapat pelbagai mini games yang diinspirasikan daripada permainan tradisional yang pasti akan mengamit memori ramai.

Di dalam video itu, boleh didengari audio percakapan adalah Bahasa Inggeris yang mana dipercayai pihak Les Copaque mahu menembusi pasaran global secara tidak langsung.

Untuk makluman, projek permainan ini berjaya dibangunkan hasil kerjasama antara Streamline Studios dan Les’ Copaque dan dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5 bagi memberikan visual yang menakjubkan serta grafik yang realistik.

Video yang dikongsikan itu langsung meraih perhatian netizen tempatan dan juga negara jiran dan rata-ratanya memuji akan kehebatan permainan animasi yang ditawarkan menerusi tajuk Upin&Ipin Universe ini.

Netizen dari Indonesia memang cukup mengenali siri animasi Upin Ipin ini dan mereka turut tumpang gembira dengan pencapaian francais Les’ Copaque yang berjaya mereliasasikan impian para peminat mahu mengamati dunia Kampung  Durian Runtuh dengan gaya yang lebih interaktif.

Selain itu, mereka mengakui jika kalau negara Malaysia sudah berada jauh di hadapan apabila berkaitan penghasilan animasi 3D walhal pasaran Indonesia cukup besar untuk diterokai oleh warga lokal sendiri.

Dalam pada itu, ada juga memberi cadangan buat Les’ Copaque untuk membolehkan mereka untuk memainkan karakter sampingan lain dan memberi pilihan bahasa Malaysia kerana terasa lebih dekat dengan peminat di Asia Tenggara secara spesifiknya.

Ramai turut meluahkan yang mereka sedia membeli permainan ini sebaik ia dilancarkan pada suatu hari nanti.