Di Shamrock Beach, Batu Ferringhi, Pulau Pinang, terdapat sebuah kediaman mewah yang diberikan nama Vila Boon Siew.

Ia merupakan rumah milik mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, individu penting yang membawa jenama Honda masuk ke Malaysia.

Baru-baru ini vila itu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan kondominium mewah, lapor New Straits Times.

Pagar penghadang telah didirikan di sekitar tapak tersebut dan kru pembinaan telah mula masuk untuk memulakan projek pembinaan kondominium 43 tingkat Ascott Residences Batu Ferringhi.

Ramai bersedih Vila Boon Siew dirobohkan
Pulau Pinang Hilang Satu Tempat Bersejarah, Vila Tan Sri Boon Siew Dirobohkan Untuk Bina Kondominium Mewah
Sumber Gambar: Shah RC via Google Maps

Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh penduduk yang tinggal berhampiran vila tersebut tetapi juga oleh para pencinta warisan sejarah negeri itu.

Mereka berkata vila tersebut, yang menawarkan pemandangan indah menghadap pesisir pantai Tanjung Bungah, bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi juga sebuah monumen bersejarah yang memperingati kehidupan Tan Sri Loh Boon Siew.

Presiden Penang Heritage Trust (PHT), Clement Liang, menyuarakan kekecewaannya terhadap perobohan vila tersebut.

“Villa Boon Siew bukan sekadar sebuah rumah; ia merupakan sebahagian daripada sejarah hidup Pulau Pinang. Ia mempunyai kedudukan yang unik dalam warisan kita.

“Adalah amat dikesalkan apabila pemaju memilih untuk merobohkannya dan tidak mempertimbangkan untuk menggabungkannya dalam pelan pembangunan baharu mereka,” katanya kepada New Straits Times.

Pulau Pinang Hilang Satu Tempat Bersejarah, Vila Tan Sri Boon Siew Dirobohkan Untuk Bina Kondominium Mewah
Sumber Gambar: Google Street View

Liang yang sudah lama berjuang dalam usaha memelihara warisan Pulau Pinang, berkata bahawa vila tersebut bukan satu-satunya struktur bersejarah yang menghadapi nasib sedemikian.

Banyak lagi bangunan warisan lain, terutamanya yang terletak di luar Tapak Warisan Dunia George Town, tidak mempunyai perlindungan undang-undang dan berisiko untuk dirobohkan.

“Malangnya, banyak bangunan tidak dilindungi dan usaha untuk memeliharanya sangat kurang. Bangunan-bangunan ini bukan sekadar empat dinding — ia adalah sebahagian daripada sejarah; kisah-kisah bandar kita,” tambah beliau.

Sudah lebih dua minggu kerja-kerja merobohkan Vila Boon Siew
Pulau Pinang Hilang Satu Tempat Bersejarah, Vila Tan Sri Boon Siew Dirobohkan Untuk Bina Kondominium Mewah
Sumber Gambar: Mikail Ong via NSTP

Memetik New Straits Times lagi, seorang peniaga berdekatan yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Mohamed, 67 tahun, berkata beliau berasa sedih dengan berita tersebut.

Beliau mendakwa kerja-kerja perobohan telah bermula lebih dua minggu lalu.

“Ia menyedihkan kerana bangunan lama itu penuh dengan cerita. Banyak kenangan yang terpahat padanya,” katanya.

Mohamed berkata penduduk setempat sentiasa tahu siapa pemilik banglo tersebut.

“Kami pernah dengar tentang betapa hebatnya, namun luar biasa rendah dirinya (Tan Sri) Loh (Boon Siew). Penduduk tempatan menganggap vila ini sebagai satu mercu tanda, tetapi kini, semuanya telah lenyap,” katanya kepada New Straits Times .