Siapa yang membesar dengan francais Fast & Furious pasti perasan betapa berbezanya filem tersebut yang mana dahulunya menfokuskan perlumbaan jalanan kini sudah menjadi penyelamat bumi pula.

Ramai peminat yang kurang gemar dengan hala tuju filem yang semakin menyimpang dari elemen asal.

Malah, kini pelakon utama Fast & Furious, Vin Diesel sendiri meluahkan hasratnya untuk mengembalikan elemen perlumbaan jalanan atau street racing serta aksi praktikal dalam filem sekuel Fast X: Part 2.

“Saya hanya mahu kembali kepada perlumbaan jalanan sebenar, aksi praktikal… dan pertemuan semula persaudaraan yang indah itu,” sebahagian isi luahan hati yang dikongsikan di IG.

Menerusi hantaran di media sosial peribadinya bersempena Hari Kesyukuran, Diesel turut memberi bayangan kemungkinan bekerjasama semula dengan Dwayne Johson, yang memegang watak Luke Hobbs.

Dalam masa sama, Vin Diesel juga berkongsi perkembangan terkini filem tersebut yang mana terdapat percanggahan pendapat antara pihak yang terlibat dalam produksi tentang hala tuju francais itu.

Keinginan beliau berbuak-buak untuk kembali kepada perlumbaan jalan sebenar dan aksi yang sebenar kerana ia pernah menjadi daya tarikan utama filem bersiri ini pada peringkat awal.

Tidak terhenti di situ, Diesel juga berharap agar semangat persaudaraan akan berputik kembali yang dipercayai merujuk kepada usaha memperbaiki hubungan tegang antara beliau dan Johnson.

Menyingkap kembali kisah lama, konflik ini bermula pada tahun 2016 semasa penggambaran filem ke-8 berjudul The Fate of the Furious.

Khabar angin mengenai kemungkinan kembalinya Johnson sebagai Luke Hobbs, selepas penampilan singkat watak tersebut dalam adengan kredit Fast X pada tahun 2023. Hal ini sudah pasti mengembirakan para peminat yang  mana karakter ikon itu menjadi salah satu tulang belakang kejayaan francais tersebut.

Bagaimanapun, dengan kepadatan jadual Hobbs pada ketika ini sedikit sebanyak bakal menjadi halangan untuk pengambaran di dalam Fast & Furious yang akan datang.

Bersempena ulang tahun ke-25 francais ini yang semakin hampir pada tahun 2026, cabaran di sebalik tabir yang serius perlu diatasi bagai memenuhi jangkaan peminat mereka.