Pemain sayap baharu Penang FC, Wan Zack Haikal Wan Noor percaya kualiti pemain tempatan boleh setaraf dengan import sekiranya mampu ubah mentaliti yang lebih terbuka .

Itu juga yang dipegang oleh dirinya selaku pemain berpengalaman untuk tidak pernah menganggap kehadiran pemain import yang ramai bakal memberi impak kepada peluang pemain tempatan untuk menyerlah.

Baca Juga:

Ini kerana Wan Zack yang pernah berkelana ke kelab divisyen tiga Jepun, Ryukyu FC pada 2013 menyifatkan pengalaman di sana banyak mengajar dirinya untuk tidak berasa rendah diri yang memaksa dirinya bekerja lebih keras untuk cuba berada setaraf dengan kualiti pemain asing lain.

Wan Zack
Kredit Foto: Penang Football Club

Bahkan, bekas pemain kebangsaan ini turut merasakan setiap pemain perlu menerima perubahan apatah lagi di era permodenan bola sepak masa kini apabila peraturan baharu Liga Malaysia yang membenarkan pendaftaran 15 pemain import bermula musim 2025-2026.

“Pendapat saya sebenarnya situasi ini (15 pemain import) tidak akan menjadi masalah sebab masing-masing perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat terutamanya pemain tempatan yang akan berdepan persaingan sihat dalam pasukan.

“Kalau kita tengok, kualiti pemain tempatan di Malaysia sebenarnya tidak ada beza jauh pun dengan pemain-pemain asing, tetapi kita selalu merasakan kita tidak setaraf dengan mereka disebabkan mentaliti diri sendiri.

“Bagi saya, kita kena ubah mentaliti ini, ubah cara hidup kita sebab hanya dengan kerja keras dapat memberikan hasil terbaik termasuklah untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan.

“Masa saya mula-mula ke Jepun sebelum ini, tidak dinafikan memang agar mencabar pada dua minggu pertama, tapi apabila dah dapat rentak, saya tengok sendiri kita sebenarnya boleh untuk berada di tahap yang sama dengan pemain asing lain,” jelasnya.

Wan Zack
Kredit Foto: Penang Football Club

Kembara Baharu Karier Wan Zack Haikal

Wan Zack yang baru sahaja mengikat kontrak bersama Penang FC untuk musim hadapan juga bersedia untuk merebut tempat beraksi selain bersyukur kudratnya masih ditagih meskipun di usia 34 tahun ketika ini.

Dia merasakan cabaran untuk bersaing dengan pemain-pemain lain akan memberi peluang untuknya mempertingkatkan lagi kualiti bagi membantu Penang FC berada di kedudukan lebih selesa musim depan.

“Alhamdulillah dengan umur saya ketika ini masih lagi ada kelab yang inginkan khidmat saya dan terima kasih kepada semua termasuk jurulatih, Wan Rohaimi (Wan Ismail) yang percayakan saya.

“Meskipun sedar saingan sengit di sini (Penang FC), saya tetap bersedia untuk membuktikan sesuatu untuk merebut tempat”, tambahnya.