Bangladesh mendapat sorotan media utama di seluruh dunia setelah berlakunya protes besar-besaran yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan beberapa tokoh utama, termasuk bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Ketika protes semakin hangat, Hasina dilaporkan meninggalkan negaranya, dan kini Bangladesh sedang menjalani proses pemulihan di bawah pemerintahan sementara yang dipimpin oleh tokoh terkenal, Muhammad Yunus.

Selepas kekecohan ini reda, rakyat Bangladesh yang tinggal di luar negara, termasuk di Malaysia, kembali menghantar wang ke tanah air mereka.

Dengan keyakinan baharu terhadap pemimpin baru, para pekerja migran Bangladesh di Malaysia tidak lagi ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan kiriman wang demi menyokong keluarga mereka di kampung halaman.

Menurut laporan dari The Business Standard yang berpangkalan di Dhaka, pekerja Bangladesh di Malaysia telah memenuhi kedai-kedai penukaran wang yang menawarkan perkhidmatan kiriman wang.

Salah satu gambar yang dilampirkan dalam laporan itu menunjukkan situasi di sebuah kedai pengurup wang yang sesak di Kuala Lumpur pada 12 Ogos, di mana pekerja migran beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Laporan itu turut memetik kenyataan daripada ketua bahagian Perbendaharaan sebuah bank Islam yang mengatakan bahawa sebahagian besar kiriman wang ke Bangladesh datang dari Malaysia, Singapura, UAE, dan UK.

Dalam tempoh 10 hari pertama bulan Ogos sahaja, Bank Bangladesh melaporkan jumlah kiriman wang yang masuk ke negara itu mencecah USD482.77 juta, bersamaan dengan kira-kira RM2.1 bilion.

Jumlah ini amat berbeza jika dibandingkan dengan situasi semasa protes sedang berlangsung.

Ketika enam hari pertama sebelum dan selepas peletakan jawatan Sheikh Hasina, hanya USD95.65 juta atau RM425.5 juta dikirimkan ke Bangladesh.

Ini menunjukkan bahawa ketidakstabilan politik secara langsung mempengaruhi keyakinan rakyat Bangladesh di luar negara untuk menghantar wang ke kampung halaman mereka.

Dengan Muhammad Yunus kini memimpin kerajaan sementara, rakyat Bangladesh di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, kembali yakin terhadap masa depan negara mereka.