Dalam insiden tragis yang menggoncangkan Kota Mojokerto, seorang anggota polis wanita, Brigadier FN, membakar suaminya, Brigadier RDW, yang juga seorang anggota polis.
Kejadian berlaku pada Sabtu, 8 Jun 2024, dan menyebabkan kematian mangsa selepas menjalani rawatan intensif akibat melecur di seluruh badan di ICU Hospital Daerah Wahidin Sudiro Husodo, Kota Mojokerto, Indonesia
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polda Jawa Timur, Komisioner Dirmanto, pelaku telah ditetapkan sebagai suspek dan kini berada dalam tahanan polis.
“Saat ini pelaku sudah ditangkap dan ditahan serta ditetapkan sebagai tersangka. Keadaan pelaku mengalami trauma yang mendalam,” katanya dalam kenyataan yang dilansir oleh Kompas.id.
Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa motif di sebalik tindakan kejam Brigadier FN adalah kerana sakit hati terhadap suaminya yang sering membelanjakan wang untuk judi dalam talian.
Menurut pengakuan suspek, suaminya kerap menggunakan wang belanja yang sepatutnya digunakan untuk menyara hidup tiga anak mereka untuk berjudi dalam talian.
“Motifnya mangsa sering membelanjakan wang membeli-belah yang sepatutnya digunakan untuk menyara hidup tiga anaknya digunakan untuk bermain judi dalam talian,” jelas Komisioner Dirmanto.
Pertengkaran antara pasangan suami isteri ini kerap berlaku sebelum kejadian, berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap tabiat perjudian suaminya.
Puncak kemelut rumah tangga mereka terjadi pada Sabtu, 8 Jun 2024, apabila Brigadier FN yang dipengaruhi oleh emosinya, mencurahkan petrol ke badan suaminya dan menyebabkan kebakaran yang membawa maut.
Suspek kini didakwa atas tuduhan berkaitan Keganasan Rumah Tangga (KDRT).
Polis juga telah mengatur bantuan daripada sepasukan pakar psikologi untuk membantu memulihkan keadaan psikologi suspek yang mengalami trauma mendalam akibat kejadian tersebut.