Baru-baru ini, satu hantaran di media sosial X oleh @meinmokhtar mengenai wanita yang tidak mahu bekerja dengan ‘Type C’ menarik perhatian ramai.

Seorang wanita Malaysia mengakui bahawa dia menolak tawaran kerja yang menawarkan gaji bulanan RM9,000.

Sebabnya? Tempat kerja tersebut dipenuhi oleh komuniti ‘Type C’.

Jika anda tidak biasa dengan panggilan ini, ia sebenarnya merujuk kepada komuniti Cina di Malaysia.

Wanita tersebut yang tidak mahu dikenali difahamkan menolak untuk melalui tempoh percubaan di tempat kerja baru kerana mendapati tempat kerjaya tersebut dipenuhi oleh komuniti ini.

“Baru lepas tolak offer company gaji 9k sebab dah tengok company penuh dengan type-c mati aku kena balun nanti. Aku ni dahlah hati tisu sejak jadi mak-mak ni,” katanya.

Persoalan yang bermain di media sosial, adakah bangsa rakan sekerja kita benar-benar penting?

Ramai yang mendaki tangga korporat di syarikat multinasional perlu berurusan dengan pelbagai bangsa dan latar belakang.

Ramai pengguna media sosial terkejut mengetahui wanita tersebut melepaskan peluang kerja hanya kerana bangsa.

Mereka percaya bahawa dia boleh mendapat manfaat jika bekerja di sana.

Seorang pengguna berkata, “Lagi takut kerja dalam syarikat penuh M. Kita dah merasa tikam-tikam belakang, cakap belakang dgn type M ni. Biarlah penuh type C. dapat belajar macam mana diorang bekerja satu pasukan.”

Pengguna lain menambah, “Kerja dgn type-c ni, bukan susah sangat. Sebenarnya bagus sebab diorang ni rajin. Office hour 9-6 tapi belum pukul 9am semua dah buat kerja. Balik pun paling awal 6.30. Tak suruh ikut budaya overwork tapi at least can motivate ourselves to be hardworking as well.”

Seorang pengguna lagi berpendapat, “Kerja dengan type M lagilah azab. Serupa macam kerja dengan type C + gaji tak bayar + EPF tak dibayar + SOCSO tak dicarum + putar belit main agama.

“Nak pilih company type M kena lebih berhati-hati daripada company type C. Kalau culture dia bagus, gaji pun berpatutan, go on.”

Isu ini mencerminkan cabaran dan persepsi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam dunia pekerjaan.

Mungkin apa yang lebih penting adalah menghargai kepelbagaian dan berusaha untuk membina persekitaran kerja yang inklusif, di mana setiap orang, tidak kira bangsa, boleh bekerja dengan harmoni dan produktif.