Seorang ibu tunggal berusia 46 tahun yang menjadi mangsa hendap kepada seorang individu berprofil tinggi semakin mendapat perhatian ramai selepas pendedahannya baru-baru ini.

Menurut lapor Berita Harian, kisahnya bermula sebagai seorang rakan profesional, hubungan antara ejen hartanah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berubah menjadi mimpi ngeri.

Segalanya bermula pada tahun 2017, ketika ibu tunggal ini bertemu dengan Datuk Seri tersebut dalam satu perjumpaan profesional.

Hubungan itu pada mulanya kelihatan seperti persahabatan biasa.

Namun, menjelang akhir tahun 2020, dia mula menyedari perubahan yang tidak menyenangkan dalam tingkah laku Datuk Seri itu.

Mesej-mesej yang dihantar kepada wanita tersebut menjadi semakin kurang enak, dan kelakuannya semakin meresahkan.

Menyedari bahaya yang semakin menghampiri, ibu tunggal ini cuba menjauhkan diri daripadanya.

Namun, tindakan beliau itu tidak menghentikan kelakukan pelik Datuk Seri tersebut, malah beliau menjadi semakin obses.

Sejak 2020, ibu tunggal ini menerima lebih daripada 2,000 e-mel daripada Datuk Seri tersebut.

Mesej-mesej ini dipenuhi dengan luahan cinta dan disertakan dengan swafoto serta gambar peribadi, mencetuskan satu bentuk gangguan yang tidak pernah diingininya.

Lebih mengejutkan, Datuk Seri itu pernah menawarkan RM1 juta kepada wanita ini untuk mengandungkan anaknya, sambil mendakwa bahawa wanita lain pasti akan menerima tawaran tersebut.

Walaupun wanita ini berulang kali memberi amaran kepada Datuk Seri tersebut untuk menghentikan gangguannya, tindakannya semakin agresif.

Dia mula mengeluarkan kata-kata hinaan, seperti mendakwa wanita itu tidak cantik.

Selain itu, pelbagai barangan seperti jambangan bunga dan makanan, termasuk satay, sering tiba di depan pintu rumahnya — tanda cinta yang tidak pernah diminta oleh wanita tersebut.

Pengurusan apartmen cuba campur tangan dengan melarang Datuk Seri itu daripada memasuki bangunan tersebut, namun tindakan ini juga tidak berkesan.

Datuk Seri itu kemudian menyewa sebuah apartmen di bawah unit kediaman wanita tersebut, menggelarkannya sebagai “sarang cinta” mereka dan mengundangnya untuk berkunjung.

Walaupun dia tidak pernah tinggal di sana, keretanya sering kelihatan di sekitar kawasan apartmen.

Kehadiran Datuk Seri ini turut menghantui anak-anak perempuannya.

Kehidupan ibu tunggal ini kini berubah menjadi penjara, di mana privasinya tidak dihormati dan beliau menderiti secara psikologi akibat obsesi Datuk Seri yang tidak terkawal.

Melalui satu sidang media yang dikendalikan oleh Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, wanita ini dengan berani berkongsi penderitaannya dengan harapan dapat menamatkan gangguan yang telah lama menghantui keluarganya.