Seorang wanita warga emas hampir pengsan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dalam satu majlis perkahwinan.
Tertuduh yang juga seorang penjual kuih, Tuan Maimun Che Tuan, 61, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Baca Juga:
- Makcik Berlakon Jadi Tetamu Kenduri Bawa Lari Wang RM2,500 Milik Tuan Rumah
- Wanita Warga China Ceroboh Depoh Tunda MPAJ, Bawa Lari Kereta
- Pembeli Kereta Sambung Bayar Kecewa, Saga FLX Lenyap Dibawa Lari ‘Owner’
Memetik Berita Harian, sidang mahkamah terpaksa ditangguhkan selama 10 minit untuk memberi ruang tertuduh kembali tenang sebelum Mohd Fauzan menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh sabitan hari ini dan denda RM3,000 terhadap wanita berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan curi dalam bangunan, iaitu wang RM2,500 milik seorang wanita berusia 59 tahun di Kampung Tasek Berangan, di sini, sekitar jam 12.42 tengah hari 1 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, hendaklah dihukum penjara dan juga boleh didenda atau sebat.
Kertas pertuduhan itu turut menyebut sebelum ini, tertuduh mempunyai dua rekod sabitan lampau mengikut Seksyen 380 kanun sama membabitkan kesalahan mencuri dalam bangunan, iaitu di Bachok yang mana dia telah menjalani hukuman penjara selama 24 bulan dari tarikh tangkapan pada 9 April 2003, dan di Besut, Terengganu, membabitkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh hukuman pada 20 April 2011.
Memetik laporan itu lagi, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat.
Nur Amira memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh adalah seorang warga emas dan menghidap penyakit darah tinggi, kolesterol serta masalah usus.
Beliau berkata, wanita itu mempunyai enam anak yang tinggal berasingan dan turut memberi bantuan kewangan kepadanya.
Bagaimanapun, Syazalia memohon hukuman berat kerana tertuduh mencuri harta milik mangsa sebanyak RM2,500.
“Tertuduh juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan tidak insaf, selain mengambil kira hukuman untuk pengajaran serta kepentingan awam,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Fauzan berkata, kes wanita itu mendapat perhatian umum (tular).
“Justeru, mahkamah mengambil kira pelbagai faktor untuk menjatuhkan hukuman, iaitu kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.