Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelang hari raya yang dinantikan ramai. Sementara anak perantauan pula mesti sudah mula bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman dan negara masing-masing.

Memetik perkongsian Kompas, sejumlah warga Batam, Kepulauan Riau di Indonesia memilih laluan balik raya menerusi laluan Malaysia kerana lebih murah dibandingkan penerbangan terus dari Bandara Hang Nadim.

batam
Sumber Gambar: Wikipedia

Salah seorang daripadanya ialah Bagas, penduduk Batam Center, yang memilih laluan mudik melalui Malaysia ke Jakarta. Beliau mendakwa dapat menjimatkan sehingga IDR300,000 bersamaan RM80 setiap orang untuk jumlah lima ahli keluarga.

“Jika dijumlahkan, penjimatan boleh mencecah IDR3.5 juta sekitar RM939.11. Kos perjalanan melalui Malaysia ke Jakarta jauh lebih murah berbanding berlepas dari Hang Nadim,” jelasnya ketika dihubungi melalui panggilan telefon pada petang Sabtu (22 Mac 2025).

Bagas mendakwa memperolehi tiket penerbangan pada harga IDR500,000 (~RM134.16) setiap orang untuk laluan Malaysia-Jakarta. Sementara itu, menurutnya, harga tiket dari Batam ke Jakarta melalui aplikasi mencecah IDR1.5 juta (~RM402.48) setiap orang.

Bahkan, pada hari yang sama, harga tiket Batam – Jakarta untuk kelas bisnes disenaraikan dengan harga IDR8.7 juta (~RM2,332.39) tanpa tersedia pilihan kelas ekonomi.

Untuk pulang ke kampung melalui KLIA, Bagas hanya perlu menyediakan kos feri penyeberangan antarabangsa sebanyak IDR 300,000 ( kira-kira RM80.43) setiap orang, serta tambahan IDR 100,000 (sekitar RM26.81) setiap orang untuk kos perjalanan darat dari Larkin ke KLIA.

“Dengan kos IDR1.5 juta (~RM402.14) setiap orang sudah cukup untuk tiket feri dan bas dari Larkin ke KLIA, malah masih ada baki. Jadinya, memilih dari Malaysia kerana jauh lebih murah untuk pulang ke kampung,” tambahnya.

Sementara itu, Panca Nugraha, penduduk Tiban, mengaku terpaksa membatalkan rancangan pulang ke kampungnya setelah melihat harga tiket Batam–Surabaya yang mencecah angka IDR4 juta bersamaan RM1,072.36 setiap orang untuk keberangkatan hari Isnin (24/3/2025).

Panca kini mempertimbangkan untuk pulang ke kampung melalui KLIA Malaysia setelah mengetahui tiket pesawat dari sana jauh lebih berpatutan.

“Kalau dilihat dalam aplikasi, berlepas dari Batam ke Surabaya ada transitnya ke KLIA. Lebih baik saya berlepas dari sana untuk pulang ke Surabaya,” katanya.