Mamat Khalid telah meninggalkan kita. Allahyarham difahamkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjong Malim, sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia di sana.

Ucapan takziah dan selamat tinggal memenuhi ruang media sosial dari rakyat Malaysia mahupun rakan artis. Pemergian allahyarham telah meninggalkan kesan kepada seluruh peminat filem tanah air.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebahagian rakan artis dan penggiat seni tanah air turut berkongsi cerita dengan orang ramai mengenai peribadi arwah Mamat Khalid dan bagaimana arwah telah meninggalkan kesan kepada mereka.

Antaranya adalah Mus May, di dalam hantarannya di Facebook, Mus bercerita bagaimana watak kecilnya di dalam filem Hantu Kak Limah telah meninggalkan impak yang besar kepada umum.

“Dua bulan selepas saya keluar dari hospital 2017, saya ditawarkan watak Bapak Bunian. Untuk scene saya shooting di kawasan Kuala Kangsar & Taiping sekitar November 2017.

“Saya awal-awal beritahu pada abang mamat yang saya ada problem sikit bab ingatan ni. Dia cakap tak apa, abang faham. Dia cakap watak ni abang memang nak bagi kamu. Arwah memang tak beri tekanan langsung pada saya. Tak ada banyak kali take pun. Sebab dia faham keadaan saya time tu.

“Saya betul-betul tak sangka. Watak kecil saya dalam HKL tu beri impak yang besar, yang orang akan ingat sampai bila-bila ‘Per..Per..’” katanya.

Di akhir catatan di Facebook, Mus mengucapkan terima kasih kepada arwah Mamat Khalid yang telah memberi peluang kepada beliau untuk berlakon dan baginya, pemergian arwah umpama hilangnya satu bintang.

Selain daripada Mus, rakan artis yang turut berkongsi cerita mengenai arwah adalah Que Haidar atau lebih dikenali orang ramai dengan watak Amy Mat Piah yang dipegangnya sewaktu berada di bawah arahan Mamat Khalid dalam filem Rock Oo!

Menulis di laman Twitter, Que berkata bahawa jasa Mamat Khalid tidak boleh dilupakan, baginya arwah adalah antara pengarah awal yang membantunya berkembang menjadi pelakon yang baik.

“Antara director terawal yang mengesan bakat saya. Bermula dengan 1 commercial Putrajaya dan seterusnya menghadiahkan saya Amy Mat Piah juga Deris. Al fatihah untuk Abang,” katanya di laman Twitter.

Pengalaman membawa watak Amy Mat Piah pernah diceritakan oleh media tempatan apabila Mamat Khalid sendiri akui bahawa dia pernah memarahi Que di set pengambaran kerana berlakon seperti ‘kayu jenis baharu’.

Namun pengalaman itu telah berjaya mencorakkan Que, Mus dan ramai lagi pelakon serta rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya.

Allahyarham Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di usia 58 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak. Arwah adalah individu yang cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dan karya-karyanya sering mendapat tempat di kalangan peminat tempatan.

Dua berita sedih dalam satu masa: bubarnya Bittersweet dan perginya Mamat Khalid. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Dua Berita Sedih Dalam Satu Masa: Bubarnya Bittersweet Dan Perginya Mamat Khalid

‘Lebuhraya Ke Neraka’ Karya Mamat Khalid Yang ‘Deep’ Dan Pasti Akan Buat Anda Sentap

13 Sebab Kenapa Filem Rock Bro Arahan Mamat Khalid Wajar Ditonton