Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayer Leverkusen, Fernando Carro memberikan gambaran jelas pengurus mereka, Xabi Alonso akan berhijrah ke Real Madrid.

Nama Alonso telah disebut-sebut bakal menjadi pengganti kepada Carlo Ancelotti yang dikatakan bakal meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim ini.

Selain daripada prestasi Real Madrid yang tidak begitu memberangsangkan pada musim ini, Ancelotti menjadi pilihan utama untuk membimbing Brazil.

Xabi Alonso
Kredit Foto: REUTERS/Thilo Schmuelgen/ File Photo

Malah, terdapat laporan yang mengatakan pengendali kelahiran Itali tersebut sudah pun bersetuju dengan tawaran juara Piala Dunia lima kali itu.

Ia sekali gus menyaksikan angin semakin bertiup kencang mengatakan Xabi Alonso sudah semakin hampir untuk menduduki kerusi panas di Real Madrid.

Perjanjian ‘Rahsia’ Xabi Alonso & Leverkusen

“Dia [Xabi Alonso] tiada klausa pelepasan, tetapi kami ada perjanjian secara lisan [Gentlemen’s Agreement],” ujar Carro menurut sumber laporan Goal.

“Jika ada pasukan yang pernah dia wakili datang memberikan tawaran selaku pengurus, kami akan duduk berbincang dan tidak akan menghalang perpindahan itu.”

“(Tahun lepas) Xabi menerima tawaran daripada beberapa kelab besar, tetapi dia memberi jaminan bahawa dia akan terus bersama kami. Mungkin masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya kerana musim masih belum tamat.”

“Mungkin sesuatu boleh berlaku. Jadi kami berikan sedikit masa untuk membuat keputusan.Kami sangat tenang dan tiada apa lagi yang perlu dikatakan selain itu.”

Xabi Alonso
Kredit Foto: REUTERS/Carmen Jaspersen

Alonso bagaimanapun masih tidak mahu membincangkan mengenai masa depannya. Beliau pada ketika ini sedang berusaha keras untuk menghalang Bayern Munich muncul juara Bundesliga 2024/25.

Namun, ia tampak tugas sukar buat Bayer Leverkusen apabila mereka ketinggalan lapan mata dibelakang Munich dengan saingan hanya berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

Seperti diketahui, Alonso memainkan peranan penting dalam membantu Bayer Leverkusen muncul juara liga musim lalu tanpa sebarang kekalahan.