ADUN Sri Tanjung, YB Dr Rajasekaran mengesahkan bahawa pihaknya sudah berkunjung ke rumah pak cik penjual petai untuk selesaikan isu secara baik.
Sebelum ini, tular video seorang pak cik penjual petai mencampakkan petai di hadapan penguatkuasa kerana tidak berpuas hati tidak dibenarkan berniaga di kawasan tersebut.
YB Dr Rajasekaran Gunasekaran menerusi satu hantaran di Facebook menegaskan bahawa Pak Cik Noor (penjual petai) turut diberikan lesen sementara untuk berniaga secara sah tanpa sebarang gangguan lagi.
Rajasekaran turut menyampaikan sumbangan daripada YB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Port Dickson, bagi menggantikan hasil jualan petai yang rosak selepas insiden itu.
Sudah selesai secara baik
Menerusi facebook rasmi Rajasekaran, ianya bertulis: “Isu video viral penjual petai dan penguatkuasa MPPD diselesaikan secara baik.
“Berkenaan isu viral yang melibatkan penjual petai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson berhampiran Family Store,YB Dr Rajasekaran Gunnasekaran ADUN Sri Tanjung, bersama YDP MPPD Tuan Hasnor , SU MPPD Tuan Mohd Azizul Hakim , Unit Penguatkuasa, Unit Perlesenan, serta Ahli Majlis Perbandaran Tuan Segaran Annamalai telah mengadakan lawatan ke rumah Pak Cik Mohd Noor Bin Saad.
“Ini bagi menyelesaikan perkara ini secara baik. YB juga menyampaikan sedikit sumbangan mewakili YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun Ahli Parlimen Port Dickson bagi mengantirugi petai yang tidak dapat jual pada hari ini.
“Hasil perbincangan, pihak MPPD bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada Pak Cik Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.”
ADUN Sri Tanjung puasn hati isu tersebut sudah selesai dan semua pihak terlibat sudah saling bersalaman.
Kenyataan itu menambah: “Selain itu, Pegawai Penguatkuasa MPPD, En. Kamarul, juga hadir ke rumah Pak Cik Noor dan bersalaman sebagai tanda penyelesaian isu ini.
“Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak. Pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra. Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang.”
Netizen rata rata gembira isu sudah selesai dan berharap pak cik penjual petai terus dimurahkan lagi rezeki.