Tidak hanya popular dengan pembangunan pencakar langit, rakyat Malaysia cukup terkenal dengan kaya budi bahasa dan sikap berperikmanusiaan di mata dunia.

Sering menjadi sebutan di peringkat global, ramai orang mula menunjukkan minat terhadap negara ini malah  sanggup datang untuk melihat sendiri realiti sebenar seperti yang digembar-gemburkan oleh media atau influencer terkenal.

Seorang YouTuber bernama Waleed Maoed dalam misi melawat setiap negara di dunia dan kini telah datang ke Malaysia.

Selain baru merasai pengalaman menyambut hari raya Aidil Adha di sini, dia kemudian mahu melihat pula bagaimana layanan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap dirinya sebagai rakyat Palestin menerusi video terbaharunya.

Di dalam video itu, Waleed meluahkan rasa ‘terkejut’ melihat layanan dan hospitaliti yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang mana cukup bagus sekaligus membuatkan dia merasa sangat dihargai dan dekat seperti bersaudara.

YouTuber Palestin ‘Terkejut’ Dengan Layanan Rakyat Malaysia Terhadapnya
Sumber Gambar. YouTube

Sementara dalam misi mencuba makanan tempatan, dia sempat bersembang dengan peniaga dan warga tempatan yang mana semuanya tampil mesra dan bermurah hati memberi makanan atau minuman secara percuma.

YouTuber Palestin ‘Terkejut’ Dengan Layanan Rakyat Malaysia Terhadapnya
Sumber Gambar: YouTube

Dia juga terkejut dalam masa bangga melihat betapa ramai pengunjung dan peniaga menyarung baju solidariti terhadap negara asalnya iaitu Palestin. Bukan itu sahaja, frasa “Free Palestine” sentiasa disebut di bibir warga tempatan apabila ditegur oleh lelaki itu.

“Saya tidak pernah melihat negara selain Malaysia yang menunjukkan sokongan kepada Palestin dengan sepenuh hati,” katanya di dalam video itu lagi.

Dalam masa sama, Waleed akui sangat kagum dengan keramahan rakyat Malaysia bahkan ada yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Secara keseluruhannya, Waleed sangat gembira dengan layanan yang diterima malah mendedahkan sepanjang pengembaraan selama empat tahun ke seluruh dunia, rakyat Malaysia antara manusia terbaik yang pernah ditemui.

Video yang meraih lebih 40,000 jumlah tontonan itu lantas dipenuhi komen oleh rakyat Malaysia yang mana sangat mengalu-alukan kedatangan Waleed di samping menyuarakan solidariti kepada Palestin untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet di negara lain.