Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu kaedah yang menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk menyimpan wang bagi memastikan kehidupan yang terjamin selepas bersara.

Dalam satu laporan, ahli telah membuat simpanan secara sukarela kira-kira RM13 bilion pada tahun lepas, yang menurut seorang pegawai menunjukkan keyakinan orang ramai untuk menyimpan wang mereka dengan badan berkanun itu.

Baca Juga:

Menurut pegawai itu, lebih 1.2 juta ahli memilih untuk menyimpan wang mereka di KWSP berbanding bank mungkin kerana kadar dividen yang lebih tinggi dan konsisten sejak beberapa dekad yang lalu.

KWSP RM1 Juta
Sumber: NSTP/SURIANIE MOHD HANIF

Akaun i-Saraan KWSP Jadi Pilihan

Caruman itu turut melibatkan 400,000 ahli melalui skim i-Saraan, sumbangan sukarela untuk mereka yang bekerja sendiri dan pekerja kasual tanpa pendapatan tetap.

Pencarum di bawah i-Saraan akan menerima insentif khas sebanyak 20% sehingga maksimum RM500 daripada kerajaan untuk jumlah sumbangan sukarela mereka.

Pegawai itu berkata 70% ahli tidak menyentuh dana mereka dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3), yang membolehkan mereka mengeluarkan sebarang jumlah simpanan yang dimiliki pada bila-bila masa.

Kira-kira tiga juta ahli yang telah mencecah 55 tahun dan layak untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka masih menyimpan wang mereka dengan KWSP.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengambil serius mengenai simpanan mereka. RM13 bilion dalam setahun adalah permulaan yang baik, dan kesedaran tentang kelebihan menyimpan secara sukarela dengan kami semakin meningkat,” katanya kepada FMT.

Rakyat Digalakkan Carum Secara Konsisten Ke Akaun KWSP

Ketua Jabatan Dasar dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff di dalam temu bual bersama Astro Awani berkata caruman secara konsisten ke dalam tabung KWSP boleh menjamin persaraan yang selesa walaupun dengan gaji permulaan yang rendah.

KWSP
SUMBER GAMBAR: AMIR KHALID/UTUSAN MALAYSIA

Hal ini kerana simulasi yang dijalankan tabung itu menunjukkan seorang pekerja dengan gaji minimum bermula RM1,700 juga boleh mencapai simpanan RM1 juta menjelang usia persaraan kelak.

Jelasnya, apatah lagi kalau seseorang graduan yang dapat pekerjaan pertama dengan tangga gaji yang lebih tinggi seperti RM3,000 secara relatifnya boleh mencapai dengan lebih mudah.

Malah, baki RM1 juta itu juga hanya dari KWSP sahaja tanpa mengira simpanan lain yang anda miliki.