Negara kini berdepan dengan cabaran besar apabila sejumlah 1.86 juta rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh 50 tahun yang lalu, lapor Malay Mail.
Angka ini bukan sahaja besar, malah mengejutkan apabila dibandingkan dengan purata global.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, jumlah itu mewakili 5.6 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia, jauh lebih tinggi daripada purata dunia sebanyak 3.6 peratus.
Masalah ‘brain drain’ ini sudah lama menjadi perbualan, tapi kini ia semakin mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan.
Malaysia Tengah ‘Luka’ Sebab Brain Drain, Tapi Ada Harapan Baharu
Dalam ucapannya semasa pelancaran kampus 42 Penang baru-baru ini, Gobind menegaskan bahawa kerajaan Madani kini sedang menggerakkan pelbagai strategi untuk memperkukuh ekosistem bakat negara dan menghentikan aliran keluar tenaga mahir.
Apa yang menarik, usaha ini bukan hanya untuk mengekalkan bakat tempatan, tetapi juga untuk memikat kembali rakyat Malaysia yang kini menetap di luar negara serta menarik masuk bakat asing.

Salah satu tonggak utama dalam strategi ini adalah Malaysia Digital Economy Blueprint (MDEB), sebuah pelan yang menyentuh pembangunan bakat digital dari pelbagai peringkat.
Ia turut disokong oleh inisiatif besar lain seperti National Semiconductor Strategy, yang mensasarkan latihan kepada 60,000 jurutera semikonduktor berkemahiran tinggi.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak hanya bercakap tentang transformasi digital, tetapi betul-betul sedang melaksanakannya dengan pelaburan dan latihan yang konkrit.
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
Selain itu, Johor-Singapore Special Economic Zone (SEZ) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan pekerjaan berkualiti tinggi.
Dengan sasaran mencipta 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam sektor utama serta menawarkan kadar cukai yang menarik sebanyak 15 peratus untuk tempoh sepuluh tahun, zon ini dilihat sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan ekonomi serantau dan menarik golongan profesional untuk kembali bekerja di tanah air.

Gobind juga menekankan bahawa kementeriannya sedang giat bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pemain industri dalam membina ‘kilang’ bakat tempatan.
Malah, inisiatif menarik turut disediakan untuk menarik minat profesional asing melalui visa khas yang memudahkan mereka bekerja dan menetap di Malaysia.
Semuanya dirangka bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pembangunan perisian dan teknologi digital masa depan.

Untuk rekod, pelaburan digital yang diluluskan di bawah Malaysia Digital telah mencecah RM163.6 bilion pada tahun 2024 — peningkatan mendadak sebanyak 250 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ini seterusnya mencipta lebih 48,000 pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia, meningkat 109 peratus daripada 2023.
Data ini dengan jelas menunjukkan bahawa sektor digital bukan sahaja berkembang pesat, malah memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mencecah 5.1 peratus.