Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung esok, 12 Ogos, Sabtu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik sehingga 1.9 juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan.

Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pihaknya bersiap sedia bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa ketika pulang ke kampung atau menuju lokasi pengundian sempena PRN.

Katanya, persediaan berkenaan membabitkan aspek pengurusan operasi dan kemudahan lebuh raya di plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memastikan semua aspek berada pada tahap terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan tiada kerja-kerja penurapan baharu di laluan utama yang boleh menyebabkan trafik sesak seperti Lebuhraya Pantai timur (LPT) dan kawasan-kawasan negeri yang terlibat PRN bermula hari ini hingga Ahad ini, petik Astro Awani.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, KKR bersedia memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya yang bakal pulang ke kampung untuk mengundi.

“Bagi jalan-jalan persekutuan seperti Bentong, Lipis, Raub, Gua Musang boleh menyurai ke KB, kita sekarang sedang bina Lingkaran Tengah Utama (LTU). Saya minta mereka memberhentikan sepanjang tiga hari ini dan kita membuat lencongan yang boleh membuat pengundi balik untuk pilihan raya,” katanya.