Setiap kali kita memandu keluar rumah, kita bawa satu harapan iaitu sampai ke destinasi dengan selamat – tapi, hakikatnya, di Malaysia, satu nyawa hilang setiap 1 jam 56 minit di jalan raya.
Itu statistik rasmi dari 14 Mac 2024 hingga 18 Mac 2025 dan lebih menakutkan, satu kemalangan berlaku setiap 50 saat.
Dalam analisis yang dikeluarkan oleh The Star dan dilaporkan oleh The Straits Time, pada Mac tahun ini, statistik ini menjadi lebih jelas ketika musim perayaan semakin hampir – waktu di mana berjuta rakyat Malaysia pulang ke kampung.
Naik Sebelum Raya, Turun Sekejap, Kemudian Naik Balik
Data menunjukkan bahawa jumlah kemalangan biasanya meningkat dengan ketara beberapa hari sebelum perayaan besar, menurun ketika perayaan berlangsung, dan kemudian melonjak semula apabila trafik kembali sibuk.
Contohnya pada tahun 2024, tiga hari paling tinggi jumlah kemalangan jatuh pada minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri – 5 April (2,185 kes), 4 April (2,160 kes) dan 6 April (2,156 kes).
Selepas sambutan raya, pada 15 April, kemalangan kembali mencanak ke 2,146 kes.
Hari Isnin Paling Banyak Kemalangan, Tapi Sabtu dan Ahad Paling Ramai Meninggal
Hari Isnin muncul sebagai hari paling banyak kemalangan secara purata – 1,803 sehari – diikuti rapat oleh Jumaat (1,802) dan Selasa (1,796).
Tapi yang lebih mendukacitakan, Sabtu dan Ahad adalah hari paling banyak kematian berlaku, masing-masing mencatatkan purata 15 nyawa terkorban sehari.
Ahad pula dengan jumlah kemalangan paling rendah (1,451).
Malaysia Antara Tertinggi di ASEAN – Tapi Ada Sinar
Menurut laporan Global Burden of Disease 2024, Malaysia berada di tangga kedua tertinggi dalam ASEAN untuk kadar kematian jalan raya – 23.7 kematian bagi setiap 100,000 orang.
Kita hanya kalah kepada Thailand.
Namun, berita baiknya, kadar ini telah menurun dari 31.3 pada tahun 1980 – bukti bahawa masih ada perubahan positif, walaupun perlahan.