PROTON mengumumkan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) yang serba canggih sudah hampir siap sepenuhnya.

Kilang tersebut terletak di Tanjung Malim dengan kos pembinaan menelan belanja RM82 juta.

Baca Juga:

Menerusi kenyataan rasmi terbaharu, pengeluaran berskala penuh dijadualkan bermula pada September ini.

Kilang EV PROTON Hampir Siap, Ini 10 Fakta Menarik
Sumber Gambar: PROTON
10 fakta menarik mengenai kilang EV PROTON baharu yang cukup canggih itu

1. Bangunan tersebut sudah 90.4% siap, pemasangan peralatan berada pada tahap 83.5%, dengan keseluruhan kemajuan mencecah 86.9%.

2. Kilang baharu itu akan menghasilkan pelbagai model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama yang akan dikeluarkan ialah Proton e.MAS 7. Kemudian disusuli dengan Proton e.MAS 5.

3. Bermula dengan kapasiti awal yang dirancang sebanyak 20,000 unit. Kilang baharu itu mampu meningkatkan pengeluaran sehingga 45,000 unit setahun.

4. Seramai 30 kakitangan bukan eksekutif dengan latar belakang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma telah diambil bekerja.

5. Geely telah memberikan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu dalam pemilihan peralatan, serta menghantar pakar bagi menyokong proses pemasangan dan percubaan operasi.

6. Sebanyak 200 peluang pekerjaan dibuka dalam perindustrian EV dan perkhidmatan teknikal, untuk manfaat komuniti setempat.

7. PROTON bekerjasama dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) untuk menyediakan input silibus teknikal serta menyokong inisiatif latihan praktikal.

8. Kilang ini menampilkan tahap automasi yang tinggi dengan memanfaatkan penggunaan robotik, pengurusan kilang berasaskan awan (cloud), Internet of Thing (IoT) serta teknologi yang sinonim dengan Revolusi Industri 4.0.

9. Prasarana seperti sistem utiliti, laluan pengendalian material, serta alat keterkesanan digital seperti manufacturing execution system (MES) dan warehouse management system (WMS) telah pun disediakan bagi menyokong peningkatan skala pengeluaran pada masa hadapan tanpa memerlukan reka bentuk semula yang besar.

10. Susun atur kilang baharu itu direka khusus untuk menampung struktur bawah rata kenderaan EV serta unit pacuan elektrik, dengan zon khas, tahap keselamatan yang dipertingkatkan, dan konfigurasi barisan yang fleksibel bagi memastikan skalabiliti pada masa hadapan.

Kilang EV PROTON Hampir Siap, Ini 10 Fakta Menarik
Sumber Gambar: PROTON

Memetik kenyataan rasmi itu lagi, salah satu pencapaian penting yang berjaya direalisasikan ialah Machine Try Out (MTO), di mana badan kereta pertama telah diuji di kilang.

Ketua Kejuruteraan Pembuatan PROTON, Wan Yousry bin Mohamed berkata [ercubaan ini dijalankan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan peralatan sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kini kami berada di fasa akhir dalam menyediakan zon untuk pemasangan serta integrasi peralatan TF.

“Semua aktiviti kalibrasi dan pengesahan peralatan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang fasa ini bagi memastikan kami benar-benar bersedia untuk pelancaran pengeluaran,” kata beliau.