Acara Lelongan Seni Henry Butcher (Henry Butcher Art Auction) bagi edisi November kini melabuhkan tirainya secara rasmi dengan pencapaian jualan yang membanggakan.

Dari hari pembukaan pratonton lelongan sehinggalah ke ketukan tukul yang terakhir, edisi kali ini sekali lagi membuktikan bahawa nilai karya seni tempatan terus mendapat tempat istimewa di hati para peminat dan pelabur seni.

Pihak penganjur menerusi kenyataan rasmi mereka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengumpul karya seni, konsignor, pembida, pengkarya serta orang ramai yang hadir memberi sokongan.

Menurut mereka, kepercayaan dan penyertaan aktif semua pihak menjadi nadi utama yang menghidupkan lagi kemeriahan setiap sesi lelongan.

Pada edisi kali ini, karya agung seniman tersohor negara, Abdul Latiff Mohidin bertajuk Voyage Rimbaud II (2003–2004) berjaya mencuri tumpuan apabila muncul sebagai jualan tertinggi dengan nilai bidaan mencecah RM627,200.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi karya beliau bertajuk Untitled (1990s) turut menduduki tangga kedua tertinggi selepas terjual pada harga RM336,000.

Berikut adalah senarai penuh 10 karya seni yang mencatat nilai jualan tertinggi sepanjang acara lelongan tersebut berlangsung:

1. Abdul Latiff Mohidin – Voyage Rimbaud II, 2003–2004 (RM627,200)

2. Abdul Latiff Mohidin – Untitled, 1990s (RM336,000)

3. Dato’ Yusof Ghani – Siri Tari – Deredik Putih No. 4, 1989 (RM291,200)

4. Dato’ Yusof Ghani – Siri Tari 5, 1994 (RM268,800)

5. Dr. Jolly Koh – Abstract, 1969 (RM201,600)

6. Awang Damit Ahmad – Essence Of Culture (E.O.C.), 1986 (RM179,200)

7. Dzulkifli Buyong – Cat In Green Garden, 1996 (RM168,000)

8. Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir – Mindscape – The Link, 1993 (RM134,400)

9. Dato’ Yusof Ghani – Puteri Madura Di Taman Mertua, 1997 (RM112,000)

10. Dato’ Chuah Thean Teng – Mother And Children, 1970s (RM95,200)

Menutup tirai edisi yang penuh memori ini, pihak Lelongan Seni Henry Butcher menzahirkan keterujaan untuk kembali semula pada tahun 2027 dengan himpunan karya yang lebih hebat serta penemuan seni baharu buat para pengumpul.