Apakah benar jadi ibu bekerja lebih kuat cabarannya berbanding ibu suri rumah tangga? Tolak ke tepi perbandingan itu kerana seorang wanita berstatus ibu pasti mengalami pelbagai liku dalam mengendalikan rumah tangga masing-masing.

Apa yang membezakan antara ibu A dan ibu B ialah cara menghadapinya. Nak tak nak, kerja rumah tangga sememangnya tak akan pernah habis. Mengurus dan mengemas pakaian, dapur, dan anak adalah rutin yang perlu dilalui setiap hari.

Panjatkan rasa syukur kerana tanggungjawab ibu ialah satu anugerah dari-Nya yang patut anda lakukan sebaik-baiknya. Dengan ketenangan, inshaAllah semua kerja menjadi senang dan teratur.

Bagaimana? Ini 10 tip mencipta ketenangan sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang menjadi waris agama dan bangsa.

1. Tetapkan Keutamaan

Menetapkan prioriti kepada perkara-perkara yang perlu dilakukan setiap hari dapat membantu produktiviti hari tersebut. Cuba kategorikan perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam bentuk senarai.

i. Senarai Amat Penting
ii. Senarai Kurang Penting
iii. Senarai Tindakan Segera
iv. Senarai Boleh Dilakukan Kemudian

Dengan cara ini, kita tidaklah terkejar-kejar membuat sesuatu kerja, kerana sudah membuat senarai prioriti. Selesaikan perkara yang penting dan perlu tindakan segera dahulu, diikuti perkara yang kurang penting.

Anda boleh tulis senarai ini di dalam aplikasi telefon seperti Google Calendar, atau tulis di dalam diari atau planner, atau menampal nota ‘Post It’ di tempat yang mudah dilihat.

2. Mencipta Rutin

Amalan yang dibuat berkali-kali dan konsisten akan menjadi tabiat. Apabila sesuatu amalan sudah jadi tabiat atau kebiasaan, urusan jadi lebih mudah dan tenang. Mungkin pada awalnya sahaja berasa kekok sedikit, namun alah biasa tegal biasa.

Biasakan diri untuk tidak menangguh kerja atas alasan malas. Selesaikan mana-mana urusan secepat yang mampu. Dalam kata lain jadi produktif! Kemudian beralih kepada urusan lain pula. Dengan cara ini banyak urusan boleh diselesaikan dalam satu hari.

Latih diri supaya tidak menghabiskan waktu untuk hal yang kurang penting seperti menonton televisyen atau melayari media sosial terlalu lama hingga urusan keluarga terabai. Amalan ini juga jika tidak diubah, akan menjadi tabiat juga.

3. Timba Ilmu

Anda rasa tiada masa dan sukar ke majlis ilmu sejak bergelar ibu. Itu bukan satu alasan sekiranya anda tidak cuba untuk tetapkan satu ruang agar anda boleh dengar kuliah atau ceramah.

Pilih video atau audio kuliah yang sesuai dan disampaikan oleh penceramah yang anda gemari. Walaupun tidak dapat hadir secara bertemu muka, namun ilmu tetap diperolehi.

Ilmu ini tidak bermaksud ilmu agama semata-mata, ia boleh meliputi pelbagai cabang. Boleh juga mendalami ilmu motivasi atau pembangunan diri. Motivasi perlu diperbaharu untuk kekalkan momentum.

4. Cari Waktu Diri

Menjalani rutin yang sama setiap hari pasti membosankan. Tambah pula diri diperah sehingga kehabisan tenaga di penghujung hari atau minggu.

Bagi muslimah, amalan solat, zikir, membaca Al Quran dan doa dapat memberi ketenangan dan mengembalikan tenaga. Jika mampu mengerjakan solat malam, lakukanlah.

Selain itu, ada ibu memperuntukkan sedikit masa untuk bersarapan di luar di hujung minggu atau berlibur bersama rakan-rakan tatkala suami menjaga anak-anak di rumah.

Ada juga suami yang memahami dan menghargai dengan menghantar isteri ke spa kecantikan dan kecergasan. Hakikatnya, biarpun hanya 5 ke 10 minit untuk menikmati masa sendirian, ia amat bermakna buat diri anda dari segi emosi dan tenaga.

5. Manfaatkan Teknologi

Bagi yang mampu, tak ada salahnya memanfaatkan teknologi bagi membantu kerja rumah supaya lebih efisien agar dapat menjimatkan masa dan mengurangkan tenaga sewaktu melakukan kerja-kerja renyah di rumah.

Penggunaan peralatan elektrik seperti periuk nasi elektrik, mesin basuh, penyapu dan mop kain mikrofiber, dan vakum automatik sangat membantu kerja-kerja rumah siap dengan cepat.

6. Bentuk Kerjasama

Anak bukan ‘tuan’ buat kedua orang tua. Disebabkan itu wajar anda didik anak-anak daripada kecil untuk kongsi rasa tanggungjawab di rumah agar dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa. Disamping itu, anak-anak dapat belajar hidup berdikari.

Jika mampu, baju kotor boleh dicuci atau dikeringkan di kedai dobi layan diri dan boleh mengupah servis pembersih sambilan selepas waktu kerja atau di hujung minggu.

Bantuan suami juga boleh dipinta sama ada dalam bentuk tenaga atau kewangan bagi menyediakan alternatif dalam urusan kerja rumah. Dengan cara ini, ibu akan mempunyai lebih masa untuk diluangkan bersama keluarga.

7. Pembentukan Dalaman

Sungguh, tanggungjawab sebagai ibu amat berat untuk ditanggung. Namun begitu, besar juga pahalanya apabila dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik dan termampu.

Peranan ibu merupakan satu anugerah dari Allah di mana ibu akan berasa bahagia apabila ia dilaksanakan dengan penuh rasa syukur. Segala momen makan bersama, beriadah bersama, waktu tidur atau belajar bersama anak sebagai suatu keindahan dalam hidup yang Allah kurniakan pada ibu.

8. Mohon Keberkatan Kepada-Nya

Walaupun begitu banyak kerja seorang ibu, tapi tidak mustahil semuanya dapat diselesaikan. Mohon pada Allah supaya diberi keberkatan waktu dan rezeki sepanjang hidup kita.

Ikhlas dalam melakukan tanggung jawab kepada keluarga juga bernilai ibadah.

9. Proaktif

Lakukan beberapa aktiviti serentak memang satu sikap seorang ibu yang proaktif. Bayangkan sewaktu memasak, boleh hidupkan mesin basuh atau mencuci pinggan mangkuk di sinki. Sewaktu mandi, boleh mencuci dinding atau lantai bilik mandi. Dua, tiga kerja akan siap serentak. Jimat masa dan tenaga ibu. Ibu kurang penat, kerja tetap selesai.

10. Sayang Diri

Bagaimana mahu jaga dan sayang orang lain jika diri sendiri terabai? Diri ibu sendiri perlu diberi perhatian terutama aspek kesihatan, kebersihan dan juga penampilan. Apabila ibu sihat dan tenang, auranya juga akan dirasai oleh anak-anak dan suami.

Bagi memastikan kesihatan sentiasa baik, ibu boleh amalkan makan dengan teratur dan seimbang dari segi khasiatnya setakat yang mampu. Tambah makanan tambahan (supplement) untuk memastikan kecergasan dan badan bertenaga.

10 tip ini hanya panduan buat anda. Mungkin ada cara lain yang lebih sesuai kerana anda lebih mengenali diri sendiri. Jangan kecewa jika rasa diri bukan seorang ibu yang baik.

Tiada ibu yang sempurna di dunia ini. Yang ada hanya ibu yang sempurna di mata anak-anak. Be cool dan tenang, agar jadi ibu yang berbahagia.