Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff menyatakan kira-kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara bakal tutup operasi ekoran kenaikan harga diesel dan kos operasi, serta tempahan semakin berkurangan.
Menurut beliau, sebahagian besar pengusaha tidak dapat menjalankan perniagaan akibat kenaikan harga diesel kerana tempahan daripada agensi pelancongan, sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) dan organisasi semakin berkurangan, petik Berita Harian.
“Sekarang harga diesel mencecah RM4.72 seliter dan tidak mustahil terus meningkat pada masa akan datang.
“Kos operasi juga meningkat dua kali ganda, malah pelanggan membatalkan tempahan perkhidmatan bas persiaran di bawah naungan kami walaupun kami sedia berbincang dengan mereka.
“Setakat ini, saya dimaklumkan kira-kira 50 peratus tempahan sudah dibatalkan,” katanya pada perhimpunan aman di sini semalam, yang disertai 31 pengusaha bas persiaran Zon Utara.
Semua syarikat pengusaha bas persiaran di bawah naungannya dari Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis terbabit dengan sektor pelancongan.
“Pihak kami akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Perdana Menteri supaya masalah yang kami hadapi sekarang dapat diatasi segera.
“Melalui memorandum itu, kami mencadangkan bantuan kewangan sementara dapat diberikan, selain berharap subsidi bersasar diesel diberikan kepada pengusaha bas persiaran berdaftar di bawah MOTAC, ” katanya.
Menurutnya lagi, industri bas persiaran antara tulang belakang pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa di Malaysia.
Isu kenaikan harga diesel sekaligus memberi kesan besar terhadap kos operasi yang boleh menjejaskan daya tahan industri ini.