Kecoh di media sosial berhubung tindakan individu yang sanggup mencalarkan kereta orang awam dek kerana tidak mahu membayar caj parkir yang dikenakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa tempat letak kereta (TLK) terbuka di tepi lorong Jalan Sultan Ismail yang didakwa dikuasai ‘ulat parkir’ sebenarnya telah disewakan kepada syarikat persendirian.

Baca Juga:

Menerusi satu kenyataan, DBKL berkata, pihaknya telah menyewakan urusan parking itu kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat.

Jelasnya lagi, TLK itu merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir pada waktu pejabat iaitu sehingga pukul 5 petang.

“Pihak operator joki telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi TLK joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum
mengenai perkhidmatan tersebut,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, DBKL berkata, sejumlah 11 TLK DBKL telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar Kuala Lumpur.

Sehubungan itu katanya, DBKL ingin memaklumkan bahawa bukan semua tempat letak kereta DBKL boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

“Pasukan DBKL akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Grenier bagi membanteras ulat parkir.

“Untuk rekod, seramai 75 ulat parkir telah diambil tindakan sejak tahun 2022 sehingga sekarang di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”ujarnya.

Sebelum ini, media juga ada melaporkan bahawa pihak DBKL bakal meningkatkan pemantauan di sekitar beberapa kawasan panas selepas menerima sejumlah laporan berhubung tindakan joki haram yang memaksa orang ramai untu membayar ruang parkir.