Pada hari ini, 11 pengubahsuaian bajet 2016 dibentangkan mengikut kesesuaian ekonomi pada masa sekarang. Berikut adalah 11 langkah yang dicadangkan:

11 Langkah Penstrukturan Dan Pengubahsuaian

1. Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Nando's
HYPE
Tidak Perlu Ikat Perut, Ini Cara Untuk Anda Jimat Wang Makan Tengahari
Baca lagi →

Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

(Nota editor: Ini adalah langkah yang biasanya diambil semasa kegawatan ekonomi. Potongan caruman biasanya akan disalurkan masuk ke dalam gaji pekerja, memberi pekerja lebihan wang tunai untuk berbelanja. Perbelanjaan orang ramai akan menyebabkan ekonomi kekal menggalakkan.)

2. Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015.

Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

3. Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:

Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten.

Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.

Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.

Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, KPDNKK diarahkan untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.

Empat: Dalam waktu yang sama, KPDNKK akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.

Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan

Enam: Kerajaan memperkenalkan program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

4. Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.

Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

5. Selaras dengan apa yang doumumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.

6. Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara-perkara berikut akan dilaksanakan:

Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.

Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.

Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.

Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.

Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.

Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan

Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.

7. Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja.

Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.

Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.

8. Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.

9. Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.

10. Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies; dan

11. Perdana Menteri menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat.

Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.

Perubahan-perubahan Lain

1. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang.

Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.

Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.

Pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

Tidak Berubah

1. Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan. Kerajaan akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.

2. Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.

3. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism.

Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.

Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.

4. Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak.

Dengan ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:

Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.

Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan

Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.

6. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.

7. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.

Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini, seramai 25 ribu pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Kerajaan telah bersetuju dengan tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.

8. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada.

Berita baiknya, kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.

9. PKS dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.

10. Dari segi pelaburan pula, Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini.

Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.

Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.

Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.

11. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier dan Go-Export.

Selain itu, untuk meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.

12. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport.

Malaysia harus meneroka pasaran baru melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan datang.

Teks penuh pembentangan ini boleh didapati di laman web Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak.

BACA: Senarai Insentif Bajet 2016 Dan Kesannya Ke Atas Individu

Sumber