Pusingan 5 Infinity IAME Series Asia 2026 di Litar Antarabangsa LYL Karting membuktikan Malaysia mampu menjadi pentas persaingan karting bertaraf dunia apabila 121 pelumba dari 15 negara turun berentap termasuk juara dunia IAME, Aaron Garcia dari Sepanyol.
Pengarah Eksekutif Infinity IAME Series Asia, Daniel Ling berkata, saingan kali ini menjadi perlumbaan terbesar dianjurkan pihaknya setakat ini, malah penganjuran di Malaysia buat kali kedua tahun ini turut memperlihatkan peningkatan jumlah pelumba serta tahap persaingan.
Katanya, kehadiran pelumba dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Jepun, Sepanyol dan Itali menjadikan saingan lebih sengit apabila pelumba tempatan berpeluang menguji kemampuan menentang pencabar antarabangsa.
“Secara teknikalnya, ini adalah perlumbaan terbesar buat kami setakat ini dan saya percaya ia juga adalah kejuaraan karting terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia dengan 121 pelumba dari 15 negara.
“Apabila kita mempunyai juara dunia seperti Aaron di petak mula, ia memberi peluang kepada pelumba lain untuk mengukur tahap masing-masing,” katanya.
Saingan kategori senior menyaksikan pelumba Thailand, Toby Gale muncul juara, diikuti Dilan Tan dari Singapura di tempat kedua manakala Aaron Garcia melengkapkan podium di kedudukan ketiga, sekali gus membuktikan saingan sengit antara pelumba rantau Asia dan Eropah.

Daniel berkata, tahap persaingan pada kejohanan itu semakin menghampiri standard dunia apabila pelumba tempatan seperti bekas juara Malaysia, Travis Teoh turut mampu memberi tekanan kepada Garcia dalam sesi saringan.
“Dalam perlumbaan saringan, kita dapat lihat Travis mengejar Aaron. Jadi, apa yang boleh saya katakan ialah tahap perlumbaan kami sekarang hampir mencapai standard peringkat dunia,” katanya.
Kenali Infinity IAME Series Asia 2026
Infinity IAME Series Asia 2026 membabitkan enam siri perlumbaan, bermula dengan Pusingan 1 di Malaysia pada Januari, sebelum saingan diteruskan di Thailand pada Mac dan April, Macau pada Mei, Malaysia pada 8 hingga 9 Ogos dan pusingan terakhir yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 September.
Menurut Daniel, format kejohanan yang mengikut peraturan karting FIA turut menjadikan persaingan lebih mencabar apabila pelumba perlu melalui sesi kelayakan, perlumbaan saringan, saringan super sebelum mara ke perlumbaan akhir.
Beliau berkata, Malaysia turut mempunyai kelompok bakat yang besar untuk dikembangkan dalam sukan permotoran dengan beberapa pelumba tempatan seperti Travis, Katrina Ee, Putra Adam dan Melvin Moh pernah menggunakan platform karting sebelum melangkah ke perlumbaan Formula atau GT.
“Bagi kami, IAME Series Asia adalah kejohanan serantau yang menawarkan standard bertaraf perdana dan setanding dengan standard Eropah. Kami mahu menjadi platform kepada pelumba muda untuk bergerak ke tahap seterusnya, sama ada perlumbaan GT atau siri Formula,” katanya.