Syarikat pengeluar air minuman, Bubbles O2, mengumumkan pelaksanaan tindakan penarikan balik produk (product recall) secara sukarela bagi beberapa lot pengeluaran (batch) terpilih berikutan maklum balas dan aduan awam berkenaan kualiti produk mereka baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak syarikat, siasatan awal mendapati kualiti serta kandungan air minuman Bubbles O2 secara umumnya adalah kekal selamat untuk diminum.
Walau bagaimanapun, isu yang dibangkitkan dipercayai mempunyai kaitan dengan proses pembungkusan dan bukannya pada cecair air itu sendiri.
Menurut Bubbles O2, produk yang terjejas melibatkan tempoh pengeluaran antara 7 September 2026 hingga 22 September 2026. Pihak syarikat telah mengenal pasti sebanyak 14 kod batch yang terlibat untuk tindakan lanjut, iaitu:
1. 013726
2. 023726
3. 033726
4. 043726
5. 053726
6. 063726
7. 013826
8. 023826
9. 033826
10. 043826
11. 053826
12. 063826
13. 013926
14. 023926
Pihak pengurusan menjelaskan bahawa tindakan penarikan balik ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga. Senarai batch tersebut tidak bermakna kesemua botol dalam kelompok berkenaan terjejas, sebaliknya hanya melibatkan unit-unit tertentu. Semakan bagi produk daripada tempoh pengeluaran terdahulu pula tidak menunjukkan sebarang isu atau masalah kualiti.
View on Threads
“Kami mengambil maklum mengenai isu yang dibangkitkan baru-baru ini dan perkara tersebut kini sedang dalam siasatan lanjut oleh pasukan kami. Kepercayaan dan keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, para pengguna yang mendapati sebarang keadaan, bau, atau rasa yang luar biasa pada produk Bubbles O2 dinasihatkan supaya tidak mengambilnya dan segera menghubungi pihak syarikat.
Pengguna yang mempunyai produk terjejas boleh mengemukakan maklumat menerusi pesanan mesra (Direct Message) di platform media sosial rasmi Bubbles O2 atau menghubungi Khidmat Pelanggan (Customer Care) di talian 019-238 9858 bagi urusan semakan serta penggantian produk.
Pihak syarikat turut menegaskan bahawa mereka akan terus memperketatkan kawalan kualiti, proses pengeluaran, dan pemeriksaan bagi memastikan standard produk sentiasa terpelihara pada masa akan datang.