Di daerah Cumilla, Bangladesh, sudah menjadi satu kebanggaan apabila anak-anak perantau yang bekerja di luar negara pulang membawa majikan mereka dari Arab Saudi, Malaysia atau Singapura untuk melihat sendiri kehidupan di kampung halaman.

Tradisi penuh kemesraan itu turut diteruskan oleh seorang perantau bernama Sumon yang telah lebih 14 tahun mencari rezeki di Singapura.

Bukan sekadar pulang bercuti, Sumon turut merealisasikan impian lamanya dengan membina sebuah kediaman mewah dua tingkat berkonsepkan seni bina moden Singapura di tengah-tengah sawah padi yang menghijau.

Kediaman yang diberi nama Hossain Villa itu terletak di Kampung Baria Badal Paschim Para, Kabila Bazar, Burichong, Cumilla, lengkap dengan bendera Bangladesh dan Singapura tertera pada papan tanda di pintu pagar utamanya.

Perkongsian lelaki itu di platform Facebook telah meraih perhatian ramai dan rata-ratanya sangat gembira dengan pencapaian sang perantau itu.

Majikan Dari Singapura Teruja Melihat Suasana Kampung Dan Semangat Komuniti

14 Tahun Kerja Di Singapura, Lelaki Ini Bina Vila RM925,000 Di Kampung Dan Jemput Majikan Datang Melawat
Sumber Gambar: TikTok

Bagi menyambut ketibaan majikannya dari Singapura yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bangladesh, hamparan permaidani merah bersama hiasan bunga-bungaan disusun indah dari pintu pagar hingga ke anjung utama rumah.

Majikan Sumon yang kelihatan ceria menyantuni penduduk setempat mengakui amat terkesan dengan ketenangan kawasan luar bandar serta keramahan masyarakat kampung yang berkumpul menyambut kedatangannya.

14 Tahun Kerja Di Singapura, Lelaki Ini Bina Vila RM925,000 Di Kampung Dan Jemput Majikan Datang Melawat
Sumber Gambar: TikTok

“Saya rasa ini kawasan yang sangat bagus. Ia kawasan luar bandar dengan banyak aktiviti pertanian di sini. Kalau mereka dapat bangunkan sebuah resort di kawasan ini, saya rasa itu yang terbaik,” ujar majikan Sumon ketika ditemu bual di pekarangan vila tersebut.

Beliau yang sebelum ini pernah melawat Sri Lanka dan Taj Mahal di India turut melahirkan rasa gembira melihat bagaimana seluruh penduduk kampung bersatu hati dan hadir memeriahkan jemputan keluarga Sumon.

Namun di sebalik keindahan itu, beliau sempat menitipkan pesanan bermakna buat Sumon agar tidak melupakan golongan kurang berkemampuan di sekelilingnya.

“Saya dapat lihat perbezaan yang agak ketara kerana masih ramai penduduk miskin di sini. Jadi, jika kamu mampu membantu orang ramai dan penduduk di kawasan ini, kamu patut terus melakukannya,” katanya lagi dengan penuh ikhlas.

Ketika ditanya mengenai cita rasa makanan tempatan Bangladesh, beliau berseloroh bahawa hidangannya hampir serupa dengan masakan Melayu Muslim di Singapura, cuma rasanya jauh lebih manis.

Sambil ketawa kecil, beliau berkongsi bahawa rakyat Singapura kini perlu mengawal pengambilan gula kerana risiko diabetes, termasuk dirinya sendiri yang sedang berusaha menjaga pemakanan.

Dari Kerja Pengubahsuaian Di Singapura Ke Vila Impian Bernilai Lebih RM925,000

Menyingkap latar belakang pembinaan Hossain Villa, Sumon mendedahkan bahawa idea reka bentuk rumah tersebut lahir daripada pengalamannya sendiri bekerja dalam bidang pembinaan dan hiasan dalaman kediaman sepanjang lebih 14 tahun menetap di Singapura.

Malah, ahli keluarganya yang lain termasuk adik-beradik serta dua orang bapa saudaranya turut sama bekerja di republik itu.

Vila yang dibina di atas tanah seluas hampir 18 satangsho (sekitar 7,800 kaki persegi) ini menelan belanja keseluruhan melebihi 2.5 crore Taka Bangladesh bersamaan sekitar RM925,000.

Apabila pengacara video bertanyakan mengapa beliau sanggup melaburkan wang sebesar itu di kawasan kampung berbanding di bandar besar, jawapan Sumon cukup ringkas dan menyentuh hati.

“Saya bina rumah ini sebab kami memang perlukan sebuah tempat berteduh di kampung. Lagi pun, ini memang impian saya sejak sekian lama dan akhirnya berjaya direalisasikan,” jelas Sumon dengan nada rendah diri.

Seni Bina Berkonsepkan Kaca Dan Sentuhan Minimalis Ala Singapura

14 Tahun Kerja Di Singapura, Lelaki Ini Bina Vila RM925,000 Di Kampung Dan Jemput Majikan Datang Melawat
Sumber Gambar: TikTok

Dari segi struktur binaan, tingkat bawah kediaman ini berkeluasan kira-kira 2,200 kaki persegi yang menempatkan dua bilik tidur, ruang tamu dan ruang makan utama yang luas, dapur moden berkonsep terbuka serta dapur basah berasingan di bahagian luar.

Tingkat kedua pula berkeluasan 2,500 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, ruang santai keluarga, balkoni luas serta sebuah pantri mini bagi memudahkan penghuni menyediakan kopi atau kudapan tanpa perlu turun ke tingkat bawah.

Sementara itu, bahagian bumbung terbuka di tingkat atas mempunyai keluasan lebih 1,800 kaki persegi yang menyajikan pemandangan saujana mata memandang ke arah sawah padi.

Keunikan paling ketara pada vila ini ialah penggunaan dinding dan penghadang kaca tanpa bingkai pada tangga melengkung serta tingkap bersaiz besar dari lantai hingga ke siling.

Menurut Sumon, pemilihan elemen kaca tersebut memastikan cahaya semula jadi sentiasa menerangi ruang dalaman rumah walaupun berlaku gangguan bekalan elektrik, di samping membolehkan angin nyaman dari kawasan sawah masuk menyegarkan suasana.

Berbeza dengan kebiasaan rumah mewah di kampung yang sarat dengan warna-warna terang, Sumon memilih palet warna putih dan putih pudar yang ringkas serta kemas mengikut cita rasa moden Singapura.

Kemasan tangga menggunakan batu granit yang tahan lasak, manakala pintu utama bercorak pancaran emas dilengkapi kunci pintar digital bernilai sekitar 50,000 hingga 60,000 Taka (anggaran RM1,850 hingga RM2,220).

Hampir keseluruhan perabot dan kelengkapan rumah ini ditempah khas dan dibawa masuk dari pelbagai lokasi termasuk Dhaka dan Chittagong, manakala lampu hiasan gantungnya pula diimport dari China.

Menariknya, di ruang santai tingkat atas, Sumon masih menyimpan rapi sebuah set radio hi-fi jenama Sony yang dibelinya di Singapura antara 10 hingga 15 tahun lalu sebagai kenang-kenangan perjalanan hidupnya di perantauan.

Simbol Kerja Keras Dan Ikatan Kekeluargaan Di Perantauan

Lawatan ke kediaman tersebut yang turut diaturkan dengan bantuan rakan Sumon, Yasin, memperlihatkan bukan sahaja keindahan sebuah rumah agam di tengah desa, tetapi juga kisah di sebalik kejayaan seorang pekerja migran.

Selepas lebih sedekad berjauhan daripada tanah air dan memerah keringat di negara orang, Hossain Villa berdiri megah sebagai hadiah paling bermakna buat keluarga dan anak-anaknya membesar dalam suasana yang selesa, tenang serta penuh rasa syukur.